KUALA LUMPUR – Pemain beregu campuran utama negara, Toh Ee Wei dijangka berehat panjang selepas menjalani pembedahan lutut kiri susulan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang dialami.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain berusia 26 tahun itu menjalani pembedahan tersebut di Melbourne, Australia semalam dan dia akan mengharungi proses rehabilitasi dan pemulihan.
Ee Wei meluahkan rasa lega apabila pembedahan itu berjalan tanpa sebarang masalah dan berterima kasih atas sokongan diberikan selain sedia memberikan fokus kepada proses pemulihan selepas ini.
“Saya lega kerana pembedahan berjalan lancar dan terima kasih kepada semua orang atas sokongan yang diberikan. Ia sangat bermakna kepada saya dan sekarang perlu fokus kepada rehabilitasi.
“Sudah tentu saya akan berikan sepenuh komitmen untuk proses pemulihan itu dan saya tidak sabar untuk kembali lebih kuat ke dalam gelanggang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ee Wei mengalami kecederaan itu ketika sedang beraksi bersama Chen Tang Jie di pusingan suku akhir Terbuka Singapura menentang beregu India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto Mei lalu.
Kemudian, hasil pemeriksaan mendapati Ee Wei mengalami kecederaan koyakan separa pada ACL lutut kirinya, sekali gus menyebabkan dia dijangka terlepas Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi Ogos depan. – KOSMO! ONLINE














