LONDON – Penggempur utama Tottenham Hotspur, Harry Kane nampaknya akan terus kekal bersama pasukan itu selepas kelab berkenaan memutuskan untuk menolak semua tawaran yang hadir daripada pesaing mereka di Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun, mereka sedia mendengar tawaran daripada pasukan di luar dari England terutamanya dari Sepanyol jika mahu mendapatkan Kane tetapi perlu hadir dengan nilai sebanyak £175 juta (RM1.01 bilion).
Kane sedar bahawa dia perlu meninggalkan pasukan itu untuk meraih kejayaan lebih besar dalam bola sepak, namun dia merupakan seorang yang setia serta sangat sayangkan kelab tersebut ketika kontraknya masih berbaki tiga musim.
Pengerusi Spurs, Daniel Levy mengesahkan bahawa beliau tidak akan melayan sebarang rundingan daripada kelab EPL biarpun dua pasukan dari Manchester sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan Kane.
Real Madrid dilihat antara kelab yang cuba untuk merealisasikan perpindahan tersebut sementara Kane juga tidak menolak kemungkinan berkenaan tetapi nilai tersebut mungkin akan membuatkan penyerang itu terpaksa kekal di London.
Levy cukup terkenal sebagai individu yang sukar untuk berurusan kerana mempunyai pendirian yang tegas dan tidak akan bertolak ansur kecuali semua permintaannya dipenuhi.
Kane musim ini telah berjaya meledak 27 gol dalam semua pertandingan dan bakal menjadi penjaring terbanyak buat kelab itu untuk musim ketujuh berturut-turut dan hanya memerlukan 52 gol sahaja lagi bagai menyamai pencapaian penjaring terbanyak sepanjang zaman Spurs, Jimmy Greaves yang meledak 266 gol.
Selain itu, Kane turut meledak 160 gol dalam saingan EPL setakat ini untuk meletakkannya di kedudukan kesembilan penjaring terbanyak liga itu, kurang 100 gol berbanding pemegang rekod, Alan Shearer. – AGENSI














