KOTA BHARU – Seorang buruh dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat lebih 39 kilogram (kg) di sebuah rumah di Pasir Mas dekat sini, lima tahun lalu.
Hakim Mohd. Rosli Yusoff memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Amran Salleh, 53, di akhir kes pendakwaan.
Mohd. Rosli dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan hanya tertuduh yang mempunyai akses ke atas sebuah rumah di Kampung Jeram Perdah, Pasir Mas dekat sini yang merupakan lokasi barang kes dijumpai.
“Milikan dan kawalan akses pintu rumah tersebut tidak berkunci dan sesiapa sahaja boleh masuk. Saksi mengesahkan rumah kosong itu dijadikan tempat transit barangan salah seperti minyak masak sebelum diseludup ke Thailand. Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri bagi kedua-dua pertuduhan,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, Amran didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu lebih 9,740 gram methamphetamine di sebuah rumah di Kampung Jeram Perdah, Pasir Mas kira-kira pukul 4.30 petang pada 7 Jun 2021.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, lelaki itu dituduh mengedar dadah berbahaya iaitu lebih 29,626 gram methamphetamine di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan kedua-dua kes dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Adila Mat Zaidan manakala tertuduh diwakili peguam, Tengku Shazuan Tengku Sharifuddin dan Ahmad Nizam Mohamed.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berdepan hukuman mati mandatori selepas dicekup bersama 41 kg dadah jenis syabu dan 720,000 biji pil kuda dengan jumlah keseluruhan RM8.67 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jeram Perdah, Rantau Panjang di sini pada 7 Jun 2021. – KOSMO! ONLINE














