fbpx
Asyraf Wajdi.

‘Allah saja tahu perasaan saya’, Asyraf sebak 6 pelajar MRSM disingkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Allah sahaja yang tahu perasaan saya”.

Demikian luahan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki selepas enam pelajar sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) disingkirkan susulan penglibatan mereka dalam kes buli.

Beliau berkata, keputusan tersebut disifatkannya sebagai antara detik paling sukar untuk dibuat namun perlu, demi mempertahankan prinsip sifar toleransi terhadap budaya berkenaan.

Menurutnya, enam pelajar terbabit telah diambil pulang oleh ibu bapa masing-masing selepas Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) bersidang dan memutuskan tindakan tersebut.

“Allah sahaja yang tahu perasaan saya apabila enam orang pelajar diambil oleh ibu bapa masing-masing pagi tadi selepas JDM MRSM bersidang dan memutuskan untuk singkir mereka kerana kes buli.

“Namun, amaran berulang kali diberikan. #YouTouchYouGo,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi memaklumkan dua daripada enam pelajar berkenaan masih digantung sementara menunggu pengesahan daripada polis berhubung siasatan sama ada mereka turut terlibat melakukan sentuhan fizikal terhadap mangsa.

Beliau turut menegaskan siasatan tidak hanya tertumpu kepada pelajar senior, malah pelajar junior yang didakwa membawa barang terlarang juga sedang disiasat.

“Dua daripadanya digantung sehingga pengesahan diperoleh daripada pihak polis yang melakukan siasatan sama ada mereka juga turut terlibat melakukan sentuhan fizikal dalam kes buli tersebut.

“Pelajar-pelajar junior yang didakwa membawa barang terlarang juga disiasat. Apa juga kesalahan yang dibuat oleh junior tidak sesekali menghalalkan perbuatan buli dengan mengambil tindakan sendiri menghukum pelajar-pelajar terbabit,” katanya.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi merakamkan penghargaan kepada Bahagian Pendidikan Menengah Mara serta JDM kerana bertindak pantas menjalankan siasatan dan mengadakan mesyuarat dalam tempoh 24 jam seperti yang diarahkan.

“Apa-apa pun saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak Bahagian Pendidikan Menengah Mara dan JDM kerana mengambil tindakan segera dengan membuat siasatan dan mengadakan mesyuarat dalam tempoh 24 jam sebagaimana arahan saya,” katanya.

Terdahulu, enam pelajar lelaki berusia 17 tahun ditahan polis awal pagi Ahad bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar lelaki 14 tahun di sebuah sekolah di Muar, Mei lepas.

Insiden tersebut disiasat selepas ibu bapa mangsa bertindak membuat laporan kepada pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN