PETALING JAYA – Petronas menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petronas Suriname E&P B.V. mencatatkan dua lagi penemuan hidrokarbon baharu serta kejayaan penilaian telaga di Blok 52 di luar pesisir Suriname.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan telaga berjaya di negara itu sebanyak lapan buah, membolehkan Petronas membuka sumber boleh diperoleh melebihi satu bilion tong setara minyak.
Menurut Petronas, telaga penerokaan Caiman-1 yang digerudi di kawasan berkedalaman 90 meter sehingga kedalaman keseluruhan 5,065 meter menemui beberapa lapisan batu pasir Cretaceous yang mengandungi minyak.
Sementara itu, telaga penerokaan Swartzia Aspasia Complex-1 (SAC-1), yang terletak lapan kilometer di timur penemuan gas Sloanea-1 pada kedalaman air 610 meter, berjaya menemui takungan batu pasir yang mengandungi gas selepas digerudi sehingga kedalaman 4,560 meter.
Ujian aliran telaga (DST) menunjukkan kadar kebolehaliran gas yang tinggi, sekali gus membuktikan kualiti takungan yang baik.
Dalam perkembangan sama, telaga penilaian Roystonea-2 yang digerudi tujuh kilometer di utara Roystonea-1 mengesahkan keluasan takungan minyak di kawasan berkenaan. Keputusan DST turut menunjukkan produktiviti minyak yang kukuh, mengesahkan kualiti dan keluasan sistem takungan tersebut.
Petronas merupakan pengendali Blok 52 dengan pegangan kepentingan sebanyak 80 peratus, manakala baki 20 peratus dimiliki Paradise Oil Company N.V. (POC), anak syarikat milik penuh Staatsolie Maatschappij Suriname N.V. (Staatsolie).
Ketika ini, PETRONAS mempunyai kepentingan dalam lapan blok luar pesisir Suriname iaitu Blok 9, 10, 48, 52, 53, 63, 64 dan 66.
Ketua Pegawai Operasi serta Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Mohd. Jukris Abdul Wahab berkata, kejayaan lapan telaga dengan sumber boleh diperoleh melebihi satu bilion tong setara minyak membuktikan keupayaan teknikal, pelaksanaan operasi yang berdisiplin serta kerjasama kukuh Petronas di Suriname.
“Blok 52 terletak dalam koridor yang sangat berpotensi dikenali sebagai ‘Golden Lane’ dan kami akan terus memberi tumpuan untuk menterjemahkan potensi sumber ini kepada nilai jangka panjang bagi Suriname dan juga Petronas,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE














