fbpx
Polis mendedahkan hampir setiap hari warga Myanmar termasuk etnik Rohingya cuba menyeludup masuk ke Kelantan melalui Tak Bai, Thailand.

Waspada Rohingya jadi tunggangan sindiket jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat mendedahkan hampir setiap hari warga Myanmar termasuk etnik Rohingya cuba menyeludup masuk ke Kelantan melalui Tak Bai, Thailand.

Etnik Rohingya juga mengubah modus operandi daripada menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok kepada laluan laut selepas penutupan pangkalan haram hampir dua tahun lalu.

Malaysia masih menjadi destinasi pilihan etnik tersebut berikutan ramai saudara-mara mereka sudah berada di negara ini selain faktor agama, keselamatan dan peluang pekerjaan.

Berdasarkan maklumat, kesemua PATI dari Myanmar itu sanggup membayar sehingga RM6,000 kepada ejen untuk membantu urusan menyeludup mereka ke negara ini melalui jalan laut.

Kebanjiran etnik Rohingya yang dilihat semakin menguasai kawasan perniagaan dan lokasi-lokasi tumpuan di negara ini menimbulkan rasa kurang senang kepada rakyat tempatan termasuk dari segi jenayah.

Mohd. Yusoff turut mendedahkan, berdasarkan rekod, sebanyak 689 kes melibatkan 1,458 individu etnik Rohingya ditangkap melakukan kesalahan jenayah termasuk penyeludupan migran, pecah rumah dan jenayah kekerasan di Kelantan sejak tahun lalu.

Mengulas lanjut, penganalisis jenayah dan pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, golongan tersebut berpotensi besar menjadi ‘kuda tunggangan’ kepada sindiket di negara ini untuk melakukan pelbagai jenayah.

Katanya, etnik Rohingya yang memerlukan wang untuk kelangsungan hidup di negara ini berkemungkinan sanggup menerima upah daripada rakyat tempatan untuk melakukan jenayah atau keldai dadah.

“Mereka boleh bersembunyi di negara ini atau melarikan diri ke negara jiran terutamanya Thailand selepas melakukan jenayah-jenayah itu dengan hanya berselindung di sebalik kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Kes-kes jenayah di negara masih banyak yang tidak diselesaikan dan kini ditambah pula dengan perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir etnik Rohingya yang mendapat upah daripada pihak tertentu.

“Rakyat tempatan yang terlibat dengan sindiket sudah pasti akan menggunakan atau membayar upah kepada etnik Rohingya untuk melakukan jenayah kerana pihak berkuasa sukar untuk mengesan kedudukan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Shahul Hamid memberitahu, berdasarkan laporan, kes-kes jenayah yang melibatkan Rohingya tidak serius kerana ia berlaku dalam kalangan masyarakat mereka sahaja.

Katanya, mereka tidak akan melakukan kacau ganggu terhadap masyarakat setempat sekiranya tiada yang memberi upah atau ganjaran tertentu.

“Etnik Rohingya boleh dipergunakan oleh sindiket untuk melakukan jenayah sekali gus memberi ancaman kepada aspek sosial rakyat Malaysia yang hidup harmoni.

“Kehadiran etnik itu wajar menjadi kebimbangan kepada masyarakat setempat kerana kita tidak tahu tekanan yang dihadapi mereka sehingga menjadi ‘orang suruhan’ pihak tertentu untuk melakukan jenayah.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN sepatutnya memainkan peranan penting untuk mengambil tindakan untuk menghantar etnik Rohingya ke negara ketiga,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN