DEBARAN kian terasa di hati gadis dari Negeri Cik Siti Wan Kembang itu kala majlis memasuki acara penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Peringkat Kebangsaan bagi Aliran Sains Sosial.
Saat itu, Siti Maisarah Yahya Lotfi menyedari bahawa jemputan yang diterima daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bukan sekadar menghadiri majlis biasa.
Tiga hari sebelum itu, pengetua hanya memaklumkan bahawa dia menerima jemputan ke majlis berkenaan tanpa menjelaskan tujuan sebenar.
Walaupun guru-guru memberi bayangan bahawa ada berita gembira menanti, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Biji Wangsa, Tumpat, Kelantan itu tetap enggan meletakkan harapan terlalu tinggi.
Baginya, terlalu awal untuk menganggap sesuatu yang besar bakal berlaku meskipun berada di pentas kebangsaan sudah cukup mendebarkan.
Segala persoalan akhirnya terjawab apabila namanya diumumkan sebagai salah seorang daripada tujuh penerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM Peringkat Kebangsaan bagi Aliran Sains Sosial.
Saat itu, rasa ragu yang terbuku sejak awal majlis bertukar syukur. Penantian yang penuh debaran akhirnya berakhir dengan senyuman dan rasa tidak percaya.
Menurut Siti Maisarah, walaupun memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, dia tetap menyangka masih ramai calon lain yang lebih cemerlang di peringkat kebangsaan.
“Dalam STPM, PNGK dikira berdasarkan empat subjek terbaik, namun saya mengambil lima subjek sebagai langkah tambahan untuk memastikan peluang lebih baik memperoleh PNGK 4.00.
“Setiap subjek pula mempunyai empat kertas peperiksaan. Kalau ikut keseluruhan, saya memperoleh 5A dengan pecahan 19 A dan 1 A-. Saya sangka masih ramai calon lain yang lebih cemerlang, mungkin ada yang memperoleh 20A penuh.
“Sebab itu saya agak ragu-ragu sama ada akan terpilih menerima anugerah di peringkat kebangsaan,” katanya kepada K-Remaja.
Untuk rekod, Siti Maisarah merupakan antara 18 pelajar seluruh negara yang menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM Peringkat Kebangsaan anjuran MPM.
Daripada jumlah itu, tujuh pelajar penerima bagi aliran Sains, manakala tujuh lagi Sains Sosial dan empat kategori khas.
Bagi aliran Sains, penerima terdiri daripada Ng Yu Yong, Jeremy Lim Wei Yu, Chun Meng Hao, Neoh Li Boon, Tam Juin Vern, Tan Yu Jie dan Ng Zhen Hong, masing-masing mencatatkan PNGK 4.00.
Sementara itu, bagi aliran Sains Sosial, selain Siti Maisarah, enam pelajar turut menerima pengiktirafan sama antaranya Wan Nur Mahirah Wan Harun, Amelie Gan Yee Wen dan Nurul Danish Farhana Mohd. Fauzi bersama beberapa lagi penerima yang mencapai keputusan cemerlang sama.
Selain kategori aliran utama, MPM turut mengiktiraf beberapa kategori khas. Hazaril Hakimi Hassan dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Orang Asli, manakala Nanthini
Ramu menerima anugerah Pelajar Terbaik Orang Kurang Upaya (OKU), kedua-duanya dengan PNGK 4.00.

Dua lagi penerima iaitu Yeoh Chwen Yih dan Saw Xin En masing-masing menerima pengiktirafan dalam kategori pelajar terbaik buta dan rabun, turut mencatatkan PNGK 4.00.
Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) turut meraikan kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) serta Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Malaysia (SKBMW) bagi tahun 2025.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Bandar Baru Selayang, Selangor.
Mengulas lanjut, di sebalik kejayaannya itu, perjalanan akademik Siti Maisarah tidak bermula dengan mudah apabila dia pernah berdepan kekecewaan besar dengan keputusan 6A, 1B, 2C dan 1D dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketika di Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Tumpat, Kelantan, dia berada dalam aliran Sains Tulen, namun kurang berminat terhadap bidang tersebut sehingga beberapa mata pelajaran berasaskan sains memberi kesan kepada keputusan akhirnya.
“Saya memang kecewa dengan keputusan SPM ketika itu kerana banyak subjek sains tidak mencapai target.
“Tetapi saya tidak berputus asa. Saya memilih untuk menyambung pengajian ke STPM, bertukar kepada aliran Sains Sosial dan berusaha membuktikan bahawa saya mampu bangkit,” katanya.
Keputusan beralih aliran itu menjadi titik perubahan besar apabila dia mengambil lima subjek STPM iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Sejarah dan Ekonomi.
Perubahan aliran itu membuahkan hasil apabila bakat sebenar mula menyerlah.
Bermula dengan PNGK 3.80 pada semester pertama, dia bangkit mencapai PNGK 4.00 pada semester kedua sebelum mengekalkan kecemerlangan sehingga tamat pengajian STPM.
Menurutnya, antara kunci utama kejayaan adalah disiplin dalam kelas dan konsistensi memahami pengajaran guru.
Dia juga memegang jawatan naib presiden Persatuan Tingkatan Enam (Pertina) di sekolahnya serta aktif dalam aktiviti kokurikulum, namun tetap memberi keutamaan kepada pelajaran.
“Cabaran utama saya adalah pembahagian masa kerana saya juga aktif dengan aktiviti sekolah.
“Jadi, saya fokus sepenuhnya dalam kelas. Apa yang cikgu ajar, saya cuba faham ketika itu juga. Di rumah, saya hanya ulang kaji perkara penting.
“Latar belakang di maahad banyak membantu terutama dalam aspek hafalan, jadi saya sudah biasa dengan cara belajar seperti itu,” katanya.
Sistem STPM membolehkan calon mengulang kertas peperiksaan bagi Semester 1 dan Semester 2 untuk memperbaiki keputusan, dengan gred terbaik antara peperiksaan asal atau ulangan diambil kira.
Namun, kertas semester 3 serta markah kerja kursus tidak boleh diulang.
Gred terbaik ini kemudiannya digunakan untuk pengiraan PNGK akhir yang berasaskan empat mata pelajaran terbaik termasuk subjek wajib Pengajian Am.
Sepanjang tempoh pengajian, Siti Maisarah memanfaatkan peluang tersebut dengan mengulang beberapa kertas yang dirasakan belum mencapai prestasi terbaik, khususnya pada peringkat awal pengajian.
Setiap keputusan baharu yang diperoleh digunakan untuk memperbaiki gred kertas berkaitan, sekali gus membantu mengukuhkan pencapaian keseluruhan sehingga menamatkan STPM dengan PNGK 4.00.
Bagi mencapai kecemerlangan akademik tersebut, Siti Maisarah turut mengakui pengorbanan bapanya yang merupakan Penghulu Mukim Berangan, Tumpat serta sokongan guru-guru banyak membantu dalam perjalanannya.
Mengulas masa depan, Siti Maisarah yang memasang impian untuk menjadi guru Bahasa Melayu di sekolah menengah atau pensyarah Bahasa Melayu itu berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM).
Kata Siti Maisarah, pengalaman jatuh bangun dari SPM hingga STPM menjadi pengajaran paling berharga dalam hidupnya.
“SPM bukan penamat. Saya sendiri pernah kecewa, tetapi STPM membuka peluang kedua untuk saya bangkit.
“Yang penting jangan mudah berputus asa kerana setiap kegagalan boleh menjadi permulaan kepada kejayaan yang lebih besar,” katanya.














