fbpx
MAGHRIBI berjaya mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik selepas menumbangkan Belanda menerusi penentuan penalti. - AFP

Piala Dunia 2026: Tuah penalti milik Maghribi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MONTERREY, Mexico – Maghribi bangkit daripada ketinggalan sebelum menyingkirkan gergasi Eropah, Belanda 3-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 sekali gus menghidupkan impian untuk melakar satu lagi sejarah buat bola sepak Afrika.

Ketua jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi menyifatkan kemenangan penuh dramatik itu sebagai hadiah istimewa buat seluruh rakyat Maghribi dan Raja Mohammed VI, sambil menegaskan perjalanan skuad Atlas Lions masih jauh.

“Saya tahu ramai rakyat Maghribi tidak tidur malam ini, tetapi saya percaya mereka akan pergi bekerja dengan senyuman. Kemenangan ini adalah untuk seluruh rakyat Maghribi dan Raja Mohammed VI. Pengembaraan kami masih diteruskan,” katanya.

Ouahbi mengakui pertemuan menentang Belanda bukan tugas mudah, namun kesabaran, disiplin serta keyakinan tinggi dalam kalangan pemain menjadi faktor utama yang membawa pasukannya melangkah ke pusingan 16 terbaik.

Menurutnya, Maghribi lebih banyak menguasai permainan, mengawal penguasaan bola dan mencipta peluang berbahaya sebelum akhirnya menuai hasil menerusi penentuan penalti yang mendebarkan.

Belanda terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi Cody Gakpo pada minit ke-72, namun Maghribi enggan mengaku kalah apabila Issa Diop muncul penyelamat dengan tandukan pada masa kecederaan untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Penjaga gol, Yassine Bounou sekali lagi membuktikan statusnya sebagai wira Atlas Lions apabila menyelamatkan sepakan penalti Crysencio Summerville sebelum Ismael Saibari tenang menyempurnakan sepakan kemenangan bagi mengesahkan pertemuan dengan tuan rumah bersama, Kanada di pusingan 16 terbaik.

Bintang pertahanan, Achraf Hakimi berkata, kemenangan itu membuktikan identiti sebenar Maghribi sebagai sebuah pasukan yang tidak pernah berputus asa, selain memuji semangat juang rakan sepasukan yang terus berjuang sehingga ke detik terakhir.

“Kami tahu betapa sukarnya perlawanan ini. Kami perlu kekal fokus serta kuat dari segi fizikal dan mental. Terima kasih kepada semua penyokong Maghribi dan juga rakyat Mexico yang memberikan sokongan luar biasa kepada kami sepanjang perlawanan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN