fbpx
Tangkap layar memaparkan hantaran yang dimuat naik oleh Xavier Naxa di laman Threads.

WhatsApp perkenal ‘username’, tak perlu kongsi nombor telefon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aplikasi WhatsApp bakal memperkenalkan ciri nama pengguna (username) yang membolehkan pengguna berhubung tanpa perlu berkongsi nombor telefon, sekali gus meningkatkan tahap privasi ketika berkomunikasi.

Perkara itu dikongsikan pempengaruh teknologi, Xavier Naxa menerusi hantaran di Threads yang memaklumkan ciri baharu itu sedang diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna di seluruh dunia.

Menurutnya, pengguna boleh menempah nama pengguna masing-masing dan akan dimaklumkan sebaik sahaja ciri tersebut diaktifkan pada akaun mereka.

“Tidak lama lagi, anda boleh berkongsi nama pengguna menggantikan nombor telefon apabila berhubung dengan seseorang buat kali pertama,” katanya.

Xavier berkata, nama pengguna itu boleh mengandungi antara tiga hingga 35 aksara dan boleh ditetapkan menerusi menu Nama Pengguna apabila fungsi tersebut tersedia pada aplikasi.

Katanya, pencipta kandungan, perniagaan dan organisasi juga berpeluang menggunakan nama pengguna yang selaras dengan platform media sosial lain, selagi nama berkenaan masih belum digunakan.

“WhatsApp juga tidak menyediakan direktori awam atau cadangan carian. Ini bermakna seseorang hanya boleh memulakan perbualan sekiranya mengetahui nama pengguna anda,” jelasnya.

Dalam pada itu, Xavier memaklumkan ciri tersebut dijangka diperkenalkan secara berperingkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan menggalakkan pengguna mendaftarkan nama pengguna lebih awal bagi mengelakkan ia digunakan individu lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN