MUAR – “Apa kaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16 ini dengan Datuk Seri Mohd Najib Razak?
Demikian soal Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan apabila ditanya pemberita tentang kenyataan Nga Kor Ming yang mahu meletakkan jawatan sekiranya BN memenangi PRN Johor ke 16 nanti.
Mohamad Hassan turut mencabar hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Timbalan Pengerusi DAP itu jika beliau benar-benar mahu berbuat demikian.
“Ini kerajaan negeri. Kalau BN menang di Johor, kita buat tubuh kerajaan negeri sahaja. Kerajaan negeri tak ada kena-mengena dengan hal-hal Persekutuan.
“Jadi janganlah cakap besar sangat. Kalau dia nak letak jawatan, letaklah jawatan segera. Tak ada masalah bagi kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program bersama penduduk di DUN Simpang Jeram bersama calonnya, Datuk Azman Ismail, di sini hari ini.
Terdahulu, dalam temu bual eksklusif bersama Oriental Daily, Kor Ming dilaporkan berkata beliau sanggup menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya Najib dibebaskan tanpa sebarang kesalahan.
Menurutnya, DAP juga tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia merupakan ‘garis merah’ parti tersebut. – KOSMO! ONLINE














