DALLAS – Pengendali Ivory Coast, Emerse Fae sudah mempunyai gambaran tentang kualiti Norway yang bakal ditentang pada pusingan 32 Piala Dunia 2026 di Stadium Dallas, awal pagi esok.
Peluang untuk menyaksikan perlawanan Norway dan Perancis, Sabtu lalu memberi kelebihan buat The Elephants sekali gus memudahkan Fae merangka persiapan sebelum turun ke gelanggang.
“Sukar untuk mengatakan kami akan menentang pasukan tertentu. Perkara paling penting adalah tentang persiapan kami sendiri.
“Sejurus aksi itu (Norway menentang Perancis), kami sudah tahu siapa lawan kami. Jadi, kami kena bersiap sedia untuk cuba memenangi perlawanan,” katanya.
Dalam masa sama, Fae juga menjelaskan Ivory Coast mampu untuk mara lebih jauh sekiranya mampu ‘menggari’ penyerang utama Norway, Erling Haaland dan beri amaran buat pemainnya supaya tidak membiarkan bintang skuad The Vikings itu bergerak bebas.
Bagaimanapun, Fae bertegas yang The Elephants tidak akan terlalu beri perhatian kepada tugasan bertahan kerana tetap memiliki sembilan penyerang seperti Ange-Yoan Bonny, Yan Diomande, Amad Diallo dan Nicolas Pepe.
“Saya fikir menjaringkan gol menjadi kekuatan sebenar kami yang boleh mengejutkan pasukan lawan. Kami mampu menghadirkan ancaman dari segenap sudut padang dan pemain gantian juga sememangnya mampu untuk menyumbangkan sesuatu buat pasukan,” katanya. – AGENSI














