PETALING JAYA – Orang ramai mengecam sikap segelintir pengguna yang masih tidak bertanggungjawab untuk bersama-sama menjaga kebersihan di tempat awam.
Luahan itu dikongsikan rakyat Malaysia selepas pendakwah yang juga Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim memuat naik video keadaan tandas awam di satu lokasi rekreasi di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Satu perkara kau orang kena ingat, inilah standard mentaliti rakyat Malaysia. Macam mana ni? Kerajaan dah bagi tandas. Korang kotorkan ye,” katanya menerusi video dikongsikan di media sosial.
Menerusi video berkenaan, kelihatan sampah bersepah dan dibiarkan di luar tong sampah termasuk di lantai tandas.
Keadaan itu mengundang kemarahan orang ramai terhadap pengguna yang tidak menjaga kebersihan di tempat awam.
“Bila dicadangkan penjagaan bangunan seperti yang Jepun lakukan bermula dari sekolah rendah. Ramai yang melenting,” kata @Harry Sarawak.
“Mentaliti rumah sendiri wajib bersih, tempat lain lantaklah. Pasti ada orang lain yang bersihkan. Jika mentaliti ini masih kita amalkan, negara kita akan jadi negara sampah,” kata @Mohd. Sabirin.
“Dasar pengotor memang begitu, tidak tahu menghargai kemudahan diberikan,” kata @Noraine Badarudin. – KOSMO! ONLINE














