RIYADH – Nahas helikopter di Arab Saudi membunuh 14 warga tempatan semalam, lapor agensi berita Saudi Press sambil menambah, pesawat terbabit milik syarikat gergasi minyak negara, Aramco.
Saudi Press memetik pegawai kementerian tenaga sebagai berkata, helikopter itu terhempas di Ras Tanura, timur Arab Saudi.
“Nahas ini meragut nyawa semua 14 orang, semua mangsa ialah warga Saudi,” katanya sambil menambah, siasatan sedang dilakukan untuk mengenal pasti punca kemalangan.
Aramco mengendalikan lebih 60 pesawat, termasuk helikopter yang berkhidmat di lebih 300 helipod di Arab Saudi, menjadikannya salah satu armada korporat terbesar di Asia Barat.
Riyadh tidak membayangkan nahas itu memiliki kaitan dengan serangan musuh dalam apa jua cara sekalipun.
Ras Tanura menempatkan salah satu loji penapis minyak terbesar di Asia Barat dengan kapasiti pengeluaran 550,000 tong sehari.
Loji itu beberapa kali menjadi sasaran, terutamanya semasa serangan dron Iran pada permulaan perang Asia Barat, menyebabkan kebakaran dan memaksa penutupan separa dilakukan.
Arab Saudi mengeluarkan lebih 10 juta tong minyak mentah sehari. – AFP














