BESUT – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai melakukan amang seksual terhadap rakan perempuannya di daerah ini.
Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu ditahan selepas mangsa yang berusia 17 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, siasatan awal mendapati suspek dan mangsa yang merupakan pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di daerah ini mengenali antara satu sama lain.
“Remaja lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya semalam.
Mohd. Rozaime turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan dan penggunaan media sosial anak-anak masing-masing.
Beliau berkata, pemantauan lebih tegas dan berterusan mampu mengelak anak-anak daripada pengaruh buruk dan pergaulan bebas. – KOSMO! ONLINE














