KUALA LUMPUR – Skuad badminton remaja negara mengekalkan rentak cemerlang pada Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2026 selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Indonesia dalam acara berpasukan bagi aksi Kumpulan D hari ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Yatsushiro City, Jepun sebentar tadi, Malaysia dipaksa bekerja keras apabila perlu bermain hingga aksi ketiga bagi menjuarai saingan peringkat kumpulan.
Menggunakan sistem kiraan mata baharu, pasukan negara bermula langkah kanan apabila memenangi perlawanan pertama dan mendahului 1-0 selepas menang kelima-lima acara menerusi kutipan mata 55-51.
Hasrat Malaysia untuk mencatat kemenangan bersih 2-0 ke atas Indonesia bagaimanapun tidak tertunai apabila pasukan negara jiran itu melakukan kebangkitan pada perlawanan kedua dan menang 55-49, sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.
Memasuki perlawanan penentuan, pemain-pemain negara tidak memberikan peluang kepada Indonesia apabila memenangi kesemua acara dengan perseorangan lelaki, Kong Wei Xiang menamatkan aksi dengan membantu Malaysia menang 55-48.
Sebagai rekod, kedua-dua pasukan sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan suku akhir dan perlawanan hari ini hanya sebagai pelengkap jadual selain menjadi penentuan juara saingan Kumpulan D.
Pada edisi tahun lalu yang berlangsung di Surakarta, Indonesia, langkah pasukan negara tersekat di pusingan suku akhir selepas tewas 0-2 kepada China. – KOSMO! ONLINE














