PETALING JAYA – “Awak, hari ini dah masuk hari keempat awak tinggalkan saya dan anak-anak.”
Demikian luahan sedih seorang isteri dikenali sebagai Nurbaizuraaaa di aplikasi Threads selepas suaminya, Muhammad Shafeeq Hashim meninggal dunia setelah dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) minggu lalu.
Kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SPE) itu menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 30 meter ke bawah jambatan ketika berteduh ekoran hujan lebat di di lokasi tersebut.
Selain mangsa, dua lagi penunggang motosikal turut cedera dirempuh SUV jenis Proton X50 yang dipandu wanita berusia 21 tahun selepas dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
Menurut Norbaizuraaaa, dia berasa sedih dengan kejadian yang menimpa arwah suaminya.
“Macam mana saya nak hidup dengan anak-anak selepas ini ? Allah…Allah…Allah, kenapa cepat sangat (pergi), kenapa tiba-tiba, kenapa?
“Saya tak sempat jadi isteri yang baik untuk awak. Saya tak sempat nak buat awak rasa bahagia yang betul-betuk bahagia . Maafkan saya awak,” luahnya.
Dalam hantaran sama, Norbaizuraaaa turut berkongi gambar teakhir dia bersama arwah suaminya dan anak-anak mereka.
“Alfatihah suami syurga saya, Muhammad Shafeeq Hashim (04121995-25062026),” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut berkongsi kisah sedih itu dan mendoakan agar keluarga arwah tabah dengan ujian tersebut.
“Salam takziah puan, semoga beroleh kemenangan di mahkamah ya. Semoga pemandu yang cuai itu dikenakan hukuman setimpal,” kata Dr_liza_aesthetic.
Turut meninggalkan komen ialah pengguna dikenali sebagai Kinnamissone.
“Salam takziah puan. Moga Allah satukan puan dan arwah suami di syurga Firdaus. Moga Allah angkat darjat puan di sisi-Nya,” katanya.-KOSMO! ONLINE














