MELANGKAH masuk ke kafe Pociato Coffee & Pizza di Eco Majestic, Semenyih, Selangor, pengunjung sukar untuk tidak tertarik dengan suasana perindustrian moden (modern industrial) yang menampilkan elemen seperti besi, konkrit dan kayu.
Kemasan yang ringkas serta minimalis itu diperkaya dengan sentuhan warna marun, pencahayaan hangat dan ruang yang luas sekali gus mewujudkan persekitaran yang selesa untuk pelanggan menikmati hidangan bersama keluarga dan rakan-rakan.
Menurut pemilik kafe tersebut, Nur Zarith Sofea Mohd. Rafi, konsep perindustrian yang diketengahkan bukan sekadar mencipta identiti visual yang menarik, malah turut mengambil kira aspek keselesaan pelanggan.
“Konsep perindustrian sering menonjolkan ruang yang lebih terbuka, siling yang tinggi dan susun atur yang lapang.
“Ciri-ciri ini bukan sahaja menjadikan kafe kelihatan lebih besar, malah membantu mewujudkan pengalaman menjamu selera yang lebih selesa untuk pelanggan,” katanya kepada CitaRasa.

Nur Zarith Sofea turut menjelaskan, perkara pertama yang diberi perhatian ketika mereka bentuk ruang ialah keluasan dan susun atur tempat duduk kerana sasaran utama kafe ini adalah golongan keluarga.
Dari segi susun atur, kafe ini direka dengan ruang yang luas serta jarak antara meja yang selesa bagi menampung kumpulan pelanggan yang lebih besar.
Secara visual, penggunaan warna marun menjadi identiti utama ruang dalaman kafe ini, dipadankan dengan struktur besi hitam, lantai simen bertekstur serta kemasan kayu pada meja dan tangga.
Gabungan elemen tersebut mengekalkan karakter perindustrian yang ringkas tetapi tetap moden dan elegan.
Kongsi Nur Zarith Sofea, pemilihan warna marun juga mempunyai kaitan dengan psikologi warna yang sering dikaitkan dengan kehangatan, tenaga serta selera makan.
“Warna merah secara umum dipercayai dapat merangsang deria dan menarik perhatian dengan cepat.

“Marun pula menawarkan kesan yang sama tetapi dalam versi yang lebih matang dan elegan. Ia juga mudah dipadankan dengan material seperti kayu, besi hitam dan pencahayaan kekuningan,” jelasnya.
Suasana nyaman di kafe itu turut diperkukuh menerusi penggunaan lampu berwarna kekuningan yang dipasang di seluruh ruang makan sekali gus mewujudkan suasana hangat dan selesa.
Selain ruang makan utama, kafe ini turut mempunyai ruang tempat duduk di tingkat separa atas yang menambah kapasiti pelanggan serta menawarkan suasana lebih privasi.
Di tingkat tersebut, sofa dan meja santai disediakan untuk pelanggan yang ingin menikmati suasana lebih tenang, selain menawarkan pemandangan menyeluruh ke seluruh ruang kafe.
Tingkap kaca yang tinggi pula membenarkan cahaya semula jadi memasuki ruang pada waktu siang, menjadikan suasana dalaman terasa lebih lapang dan terbuka.
















