fbpx
MOHAMED NAZARI memaklumkan krisis Asia Barat menjadikan kos operasi EV semakin kompetitif.

Kos minyak tinggi, EV terus jadi pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KRISIS di Asia Barat yang berlanjutan sejak Februari lalu memberi kesan langsung kepada industri kenderaan import yang juga antara penyumbang kepada pendapatan negara.
Biarpun situasi tersebut pada masa ini agak kendur, namun ia bukan sahaja menjejaskan ‘periuk nasi’ para pengimport, malah turut mengganggu keperluan semasa kenderaan terutama bagi segmen kenderaan elektrik (EV).

Hal ini kerana permintaan ke atas kenderaan sedikit meningkat ekoran kenaikan bahan api global yang tidak menentu ketika ini.

Justeru, pada minggu ini Kosmo! Ahad berkesempatan menemu bual Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Mohamed Nazari Noordin bagi mengupas isu kenderaan import dan kesan perang di Asia Barat.

Beliau memperincikan situasi yang dihadapi oleh pemain industri terutama syarikat bumiputera yang bernaung di bawah Pekema bersama wartawan Kosmo! Ahad, AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI.

Kosmo! Ahad: Konflik di Asia Barat antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang bermula Februari lalu kini berada pada fasa ‘bertenang’, adakah ini memberi kesan secara langsung kepada industri kende­raan import?
MOHAMED NAZARI: Ya, penghantaran dari Jepun sebagai pembekal utama ke Asia Tenggara secara tidak langsung dipengaruhi oleh konflik Asia Barat, terutama melalui pe­ningkatan kos operasi, peningkatan kadar tambang dan gangguan rantaian bekalan yang lebih luas.

Selain itu, ia juga memberi kesan langsung ke atas perkapalan Jepun-AsiaTenggara terma­suklah kos insurans perkapalan ­global dan kos bunker (bahan api).

Secara tidak langsung juga, berlaku kesesakan pelabuhan disebabkan oleh kapal yang dialih­kan dan perubahan dalam penjadualan.

Kekurangan kontena akibat kesesakan pelabuhan dan pelayaran yang lebih lama.
Import tenaga Jepun dari Asia Barat terjejas teruk.

Bagaimanakah konflik ini memberi kesan secara langsung kepada syarikat-syarikat yang bernaung di bawah Pekema?
Walaupun laluan terus antara Jepun dan Asia Tenggara tidak berada dalam zon konflik segera, krisis itu telah menyebabkan tekanan yang ketara pada kapasiti perkapalan global dan ini memberi kesan kepada logistik serantau termasuk Malaysia.

Konflik ini memberi kesan kepada Pekema. Ini dapat disaksikan oleh senario berikut, antaranya pergerakan kapal daripada pembekal, terutama dari Jepun yang mengalami gangguan dan kelewatan untuk sampai ke destinasi.

Kelewatan ini disebabkan oleh kesesakan di pelabuhan-pelabuhan utama Asia Tenggara, ekoran kargo tidak dapat dikeluarkan atau berlaku kelewatan penghantaran ke rantau Asia Barat dan Eropah.
Kos logistik semakin me­ningkat sekiranya konflik masih berterusan, berikutan kenaikan harga minyak dan bahan api.

Adakah Pekema sudah menjangkakan situasi ini dan apakah langkah-langkah yang telah diambil bagi mengurangkan kesan langsung kepada ahli Pekema?
Ahli-ahli Pekema berkemungkinan boleh mengambil langkah-langkah seperti melakukan perancangan stok awal, mempelbagaikan sumber bekalan selain Jepun dan bekerjasama dengan penyedia logistik,

Ahli-ahli Pekema mungkin boleh meningkatkan tempahan awal (forward planning) untuk memastikan bekalan mencukupi sebelum gangguan menjadi lebih serius

Dalam jangka panjang, ahli Pekema mungkin boleh mene­roka pembekal dari pasaran bukan tradisi untuk mengurangkan kebergantungan tinggi kepada Jepun
Bekerjasama rapat dengan syarikat perkapalan untuk mendapatkan kadar freight yang kompetitif dan memantau pergerakan kapal secara masa nyata.

Dari segi jualan kereta import ketika ini adakah ia tidak menjejaskan bekalan?
Jika konflik berpanjangan, Pekema akan berdepan beberapa senario yang akan memberi impak kepada perniagaan ahli Pekema.

Bekalan tergendala dengan kelewatan 10 hingga 14 hari. Kos meningkat oleh caj tambahan kepada operasi. Permintaan mungkin perlahan akibat harga jualan lebih tinggi.
Margin keuntungan terhimpit (antara kos yang meningkat dan kemampuan bayar pelanggan).

Bagaimanapun, pasaran automotif Malaysia telah terbukti berdaya tahan melalui krisis sebelum ini seperti pandemik dan kekangan cip global.

Bagaimanapun dengan perancangan stok yang strategik dan pengurusan kos yang cekap, ahli Pekema mampu mengharungi cabaran ini.
Kerajaan melalui MATRADE juga telah melancarkan pelan mitigasi untuk membantu pengeksport dan pengimport menghadapi situasi ini.

Sekiranya konflik ini berpanjangan, apakah kesan pa­ling ketara yang akan dialami oleh keseluruhan industri kenderaan import?
Sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan, kos penghantaran dijangka meningkat dan berpotensi memberi tekanan kepada harga kenderaan pada masa hadapan.

Boleh dapatkan jumlah jualan kereta import tahun lalu dan terkini?
Pada 2025, ahli Pekema mengimport 46,546 unit kende­raan dan jual 45,371 unit, menya­mai 5.5 peratus daripada TIV negara (820,752 unit).

Pada Januari 2026, import kenderaan mencatat 7,622 unit de­ngan jualan 3,018 unit, manakala Februari 2026 import turun kepada 5,279 unit, tetapi jualan mening­kat kepada 3,148 unit.
Ini menunjukkan permintaan pasaran kekal kukuh walaupun import berkurang.

Segmen kenderaan mana yang menyumbang paling tinggi jualan?
Berdasarkan kepada portfolio Pekema, MPV/minivan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada jualan.

Pada Januari 2026, 3,596 unit (47 peratus daripada jumlah jualan) dan pada Februari, 2,337 unit (44 peratus daripada jumlah jualan) terjual.

Walaupun jualan menurun 35 peratus pada Februari, segmen ini masih menguasai hampir separuh daripada jumlah keseluruhan jualan Pekema.
Ini mengukuhkan lagi data tahunan 2025 yang menunjukkan MPV sebagai segmen paling laris (51.8 peratus).

Memandangkan ketika ini harga bahan api masih tinggi, adakah permintaan untuk kenderaan EV meningkat dan segmen mana yang mendapat permintaan tinggi?
Ya, permintaan terhadap EV di Malaysia meningkat dengan ketara.

Faktor utama pendorong termasuk harga bahan api yang tinggi, ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat serta insentif pengecualian cukai yang disediakan kerajaan.
Gabungan faktor ini menjadikan kos operasi EV jauh lebih kompetitif berbanding kende­raan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Data MAA 2025 menunjukkan jualan EV meningkat 109 peratus kepada lebih 30,800 unit.
Segmen SUV menguasai 70 peratus pasaran EV dipacu permintaan terhadap model-model Proton eMas 7, BYD Sealion 7, dan Tesla Model Y yang menjadi pilihan utama.

MPV EV seperti Denza D9 dan BYD M6 juga mendapat tempat di hati pengguna. Segmen ‘compact car’ dijangka berkembang pesat pada 2026 dengan kehadiran model lebih mampu milik.
Ini dapat disaksikan oleh prestasi jualan Proton e.MAS 5 yang mencatat jualan 9,300 unit pada Jan hingga Mei 2026.

Pada Mei 2026, jenama Proton menguasai 35.3 peratus pasaran EV dan ini menunjukkan kebergantungan kepada jenama tempatan. Untuk tempoh yang sama SUV kekal segmen dominan.
Pekema optimis pertumbuhan mampan akan berterusan, namun infrastruktur pengecasan dan harga EV yang kompetitif masih perlu diperkukuh untuk peralihan sepenuhnya seperti yang terkandung dalam dasar kerajaan.

Adakah Pekema menyambut baik inisiatif kerajaan ter­hadap penekanan pemasa­ngan kenderan tempatan (CKD) berbanding import penuh (CBU)?
Pekema menyambut baik hala tuju baharu kerajaan yang memberi penekanan kepada pemasangan tempatan CKD berban­ding CBU.

Dasar ini bukan sekadar menggalakkan pelaburan asing menbuka kilang di Malaysia, tetapi juga memastikan EV yang lebih mampu milik dalam lingkungan RM100,000 hingga RM200,000 akan terus tersedia untuk pasaran tempatan.

Pekema percaya ekosistem EV negara akan menjadi lebih kukuh dan berdaya saing dalam jangka panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN