PUTRAJAYA – Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan representasi guaman serta pembelaan hak di Mahkamah Syariah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu bertujuan memastikan akses kepada keadilan dapat dinikmati terutama golongan miskin dan ibu tunggal yang tidak mampu untuk mendapatkan khidmat guaman.
“Kita ada sistem perundangan yang baik, peguam dan hakim terbaik tapi akses (bantuan guaman kepada golongan memerlukan) belum tentu.
“Tapi orang yang paling miskin kadang-kadang tidak ada akses. Sebab itu golongan memerlukan yang kurang kemampuan, ibu tunggal yang perlu representasi guaman dan pembelaan itu harus dibantu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Peguam Syarie 2026 hari ini.
Katanya, beliau telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk menyalurkan peruntukan itu dengan segera agar manfaatnya dapat dinikmati golongan sasar.
Anwar berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah, di samping memperkukuh kesedaran terhadap pelaksanaan syariah di negara ini.
Pada masa sama, katanya, beliau mengingatkan peguam syarie supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan memandangkan profesion itu mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.
Konvensyen yang menghimpunkan seramai 600 pegawai perundangan dan pengamal undang-undang syariah itu mencerminkan komitmen kerajaan MADANI terhadap agenda pemerkasaan institusi perundangan dan kehakiman syariah sebagai antara komponen penting dalam sistem keadilan negara.- KOSMO! ONLINE














