fbpx
PEMAIN-PEMAIN Cape Verde meraikan kejayaan melangkah ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 selepas muncul naib juara Kumpulan H. - AFP

Piala Dunia 2026: Cape Verde lakar sejarah, Uruguay tersingkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HOUSTON – Pendatang baharu, Cape Verde melakar sejarah tersendiri apabila berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 selepas muncul naib juara bagi saingan Kumpulan H.

Pasukan dari Afrika itu memastikan kedudukan kedua peringkat kumpulan menjadi milik mereka selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Arab Saudi di Stadium Houston sebentar tadi.

Pada perlawanan tersebut, Cape Verde dilihat sebagai pasukan lebih baik apabila menguasai sebahagian besar permainan selain melakukan 15 percubaan ke arah pintu gol berbanding enam dilakukan Arab Saudi.

Walaupun hanya memiliki populasi seramai 525,000 orang tetapi Cape Verde membuktikan keazaman serta semangat juang yang dimiliki mampu mengatasi segala-galanya dan kini mereka berada di pusingan 32 terbaik Piala Dunia.

Lebih manis, skuad kendalian Pedro Leitao Brito itu masih belum tewas dalam sebarang perlawanan apabila mencatat keputusan seri dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan menentang Sepanyol, Uruguay dan Arab Saudi.

GOL Alex Baena meranapkan harapan Uruguay untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati. – AFP

Sementara itu, cerita duka pula membelenggu kem Uruguay apabila pasukan dari Amerika Selatan itu tersingkir daripada Piala Dunia kali ini selepas mengalami kekalahan tipis 0-1 kepada juara 2010, Sepanyol.

Walaupun menampilkan aksi cukup baik di separuh masa pertama, namun kesilapan dilakukan penjaga gol, Fernando Muslera membolehkan pemain tengah La Roja, Alex Baena menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-42.

Aksi kurang fokus dipamerkan Muslera menyebabkan jurulatih, Marcelo Bielsa mengambil keputusan mengeluarkannya dan memasukkan Sergio Rochet bagi mengawal pintu gol di separuh masa kedua.

Ketika Uruguay terdesak untuk memburu gol penyamaan, mereka menerima tamparan hebat apabila pemain sayap, Agustin Canobbio dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan keras ke atas pemain Sepanyol.

Kekalahan itu menyaksikan Uruguay menamatkan saingan Kumpulan H di tangga ketiga dengan dua mata, sekali gus gagal berada dalam kelompok lapan pasukan ketiga terbaik. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN