fbpx
CHE Ta memeluk putera sulungnya, Ammar dan menitipkan pesanan penuh makna buat buah hati serta menantunya agar sentiasa mempertahankan rumah tangga yang dibina.

Terima menantu, Che Ta sebak lepaskan anak sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelakon dan usahawan sensasi, Rozita Che Wan tidak dapat menahan sebak sebaik anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy selamat bergelar suami kepada pilihan hati, Auni Ikhwan dalam majlis akad nikah yang berlangsung malam ini.

Pasangan itu dinikahkan wali juga bapa pengantin perempuan, Ikhwan Hashim dengan sekali lafaz disaksikan Penolong Pendaftar Nikah & Imam Masjid Damansara Perdana, Ustaz Abdus Salam Mahmud di GlamHall Damansara, pukul 8.40 malam.

Pada majlis tersebut, Ammar, 30, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 selain wang hantaran berbentuk jongkong emas.

Kedua-dua pihak turut berbalas tujuh dulang hantaran, manakala upacara membatalkan air sembahyang diserikan dengan hadiah cincin berlian 1.8 karat.

Rozita atau mesra dengan panggilan Che Ta menitipkan pesanan penuh makna buat anak dan menantunya agar sentiasa mempertahankan rumah tangga yang dibina.

“Tetaplah bersama walau dalam keadaan tidak sempurna dan apa sekalipun. Moga Ammar menjadi suami yang melindungi, bukannya bersikap terlalu mengongkong. Buat Auni, jadilah isteri yang sentiasa mendampingi, bukan sekadar menemani.

“Dalam berumah tangga, Ammar dan Auni kenalah sentiasa berpegangan tangan dalam apa juga keadaan. Jangan lepaskan pegangan itu ketika susah atau berdepan kegetiran.

“Kebahagiaan bukan mengenai pasangan yang tidak diuji, tetapi pasangan yang terus bersama walaupun diuji,” katanya.

Sebagai seorang ibu yang pernah melalui kegagalan rumah tangga sebelum kembali mengecapi kebahagiaan, Rozita juga berharap pasangan itu sentiasa bersikap tolak ansur dalam melayari kehidupan sebagai suami isteri.

“Dalam hidup ini, apatah lagi berumah tangga, pasti ada ujian. Apabila usia perkahwinan semakin lama dan diserikan dengan kehadiran anak, pelbagai ragam serta cabaran akan muncul.

“Perkahwinan bukan seperti menukar pakaian. Akan ada perkara yang tidak diduga, tetapi jangan sesekali memilih jalan mudah untuk lari daripada cabaran. Semoga mereka sama-sama mewarnai rumah tangga dengan penuh sakinah, mawadah dan rahmah,” ujarnya.

Mengambil keberkatan 10 Muharam, majlis bertemakan Garden Wedding itu dihadiri lebih 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua mempelai.

Mengulas tema majlis, pelakon drama Kiah Pekasam itu berkata, konsep perkahwinan dalam taman itu dipilih hasil persetujuan kedua-dua keluarga selain mengetengahkan elemen minimalis.

Ammar tampil segak dalam persalinan serba putih rekaan Man Kajang, manakala Auni anggun mengenakan busana rona sedondon sentuhan Zaimi Zulkifly.

Majlis turut diserikan dengan kemunculan Ahmad Fedtri Yahya selaku pengerusi majlis, manakala bacaan doa disempurnakan PU Amin.

Terdahulu, Ammar dan Auni mengikat tali pertunangan pada 25 Oktober tahun lalu.

Ammar kini bertugas sebagai pegawai di sebuah institusi perbankan, sementara Auni bekerja dalam bidang pemasaran di sebuah syarikat swasta.

Pasangan itu bakal diraikan dalam majlis resepsi bertemakan Black Tie di sebuah hotel di I-City, Shah Alam malam esok, disusuli majlis bertandang dijadualkan pada 4 Julai depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN