NEW YORK – Ketua Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann meluahkan rasa kecewa ekoran aksi dipamerkan para pemainnya ketika tewas 1-2 kepada Ecuador pada aksi terakhir Kumpulan E Piala Dunia 2026 di Stadium New York awal pagi semalam.
Walaupun mendahului seawal minit kedua menerusi Leroy Sane, namun skuad Die Mannschaft itu gagal untuk mempertahankan kedudukan dan menyaksikan Ecuador bangkit dengan dua gol hasil jaringan Nilson Angulo dan Gonzalo Plata.
Nagelsmann berkata, mereka sepatutnya bermain dengan lebih tersusun selepas menjaringkan gol awal, namun sebaliknya berlaku apabila anak-anak buahnya bermain terlalu bebas dan tidak mengikut perancangan asal.
“Ekoran kekalahan hari ini (semalam), kami perlu belajar bahawa kami perlu kekal dengan struktur dan perancangan asal biarpun berjaya menjaringkan gol awal. Kami terlalu banyak bertukar posisi.
“Saya fikir pemain-pemain bermain terlalu bebas selepas gol pertama. Sepatutnya kami perlu lebih sabar, bermain secara tersusun selain kekal berada di posisi masing-masing sepanjang perlawanan,” katanya.
Sementara itu, penyerang, Deniz Undav menyifatkan Ecuador bermain lebih baik berbanding Jerman apabila sering memberi ancaman sehingga menyebabkan mereka berada dalam keadaan tertekan.
“Saya dapat rasakan kemahuan mereka lebih tinggi berbanding kami. Mereka bermain sangat agresif dan memberikan segala-galanya, keadaan itu menyebabkan kami gagal untuk mengekalkan rentak seperti biasa,” ujarnya. – AGENSI














