DI sebalik lenggok dan lunak tenang suaranya menemani jutaan pendengar dengan sejuta kata hikmah bersulam cinta, tidak ramai yang tahu, betapa wanita cekal bernama DJ Lin itu menyimpan perjuangan peribadi yang sarat duka dan air mata.
Sekitar 2006 lampau, dia pernah hampir kehilangan semangat saat takdir cuba merampas kegembiraan dan masa depan dua permata hatinya, Nureen Aresya dan Nazren Asyran.
Ketika itu juga, komitmennya terhadap kerjaya teruji penuh cabaran. Daripada seorang penyampai radio popular di Suria FM, dia diberi amanah besar orang kuat stesen ketika itu, Engku Emran Zainal Abidin untuk turut menggalas tanggungjawab dalam bidang promosi dan publisiti.

Galas tiga kerja
Bagi seorang wanita yang masih cuba menyesuaikan diri dengan cabaran kerjaya, amanah tersebut dirasakan cukup besar malah dia tertanya-tanya sama ada mampu atau tidak memikul amanah berkenaan.
Seperti kebiasaan, Lin mendapatkan nasihat insan paling dipercayai dalam hidup iaitu ibunya, Allahyarham Puteh Jantan yang memintanya mencabar keupayaan diri.
Nasihat itulah yang akhirnya menjadi pegangan ketika badai lebih besar melanda terutama pada saat kerjayanya berkembang, rumah tangga yang dibina dengan harapan dan cinta akhirnya runtuh di tengah jalan.
“Saya tiada apa-apa semasa mula bergelar ibu tunggal. Kosong. Duit simpanan tiada, apatah lagi harta.
“Kediaman pula rumah sewa, tanpa kereta, begitu juga lesen. Sebelum itu saya pergi kerja naik pengangkutan awam, bas atau kadang-kadang kalau terdesak nak cepat saya ambil teksi.
“Kiranya terduduk juga memikirkan keadaan saya bersama anak-anak. Banyak yang bermain di fikiran. Air mata tumpah jangan cakap, hampir kering.
“Masa itu paling penting adalah anak-anak, biar saya tidak punya apa-apa asalkan mereka ada di sisi.
“Kalau tak kerana mereka, saya mungkin tidak sekuat hari ini. Bayangkan, waktu itu sekitar 2007 gaji penyampai tidak sebanyak mana, tetapi alhamdulillah, berkat doa ibu, sokongan keluarga kami tak pernah putus duit,” ungkapnya.
Perceraian bukan sahaja mematahkan hati seorang insan, malah hampir melumpuhkan semangat diri, apa lagi memikirkan nasib anak berusia enam dan empat tahun.
Dalam keheningan malam, ketika ramai lena dibuai mimpi, dia sering bersendirian memikirkan bagaimana mahu meneruskan kehidupan, namun setiap kali memandang wajah dua anaknya, kekuatan mula terkumpul.
Begitupun, Lin tahu dia tidak mempunyai pilihan untuk rebah malah apata lagi bagi seorang ibu, menyerah bukanlah satu pilihan.
Mempunyai pekerjaan tetap di stesen tersebut membuatkan pemilik nama sebenar, Roslindah Abd Majid itu bekerja bersungguh-sungguh memenuhi komitmen.
Namun ada harga yang perlu dibayar atas pengorbanan tersebut apabila permata hatinya lebih banyak bersama jiran berbanding dirinya.

Tumpang motosikal
Keluar awal pagi sambil mengendong si kecil yang masih lena dibuai mimpi untuk dihantar ke rumah pengasuh dan pulang usai tamat ke udara sekitar 12 tengah malam tatkala mereka sudah tidur bukan sesuatu yang diimpikan.
“Waktu siang saya banyak buat kerja promosi selain sediakan bahan untuk program malam. Tugas publisiti dan promosi pula memerlukan saya ke syarikat media. Era itu tiada media sosial media kecuali Facebook serta beberapa platform lain.
“Memang tugas pegawai promosi kena naik turun ke syarikat media.
“Jadi selepas subuh saya dah siapkan anak untuk hantar ke rumah pengasuh sebelum saya kejar pula pengangkutan awam untuk ke pejabat.
“Petang pula jika ada acara membabitkan media, saya datang ke pejabat akhbar hantar jemputan atau kenyataan rasmi.
“Kadangkala saya tunggu tepi jalan tempah teksi ke pelbagai destinasi termasuk Bangsar, Jalan Chan Sow Lin, Bangi, Shah Alam dan sebagainya.
“Pernah lebih sejam tiada pemandu teksi enggan berhenti, saya tumpang pula despatch syarikat. Saya ingat lagi namanya, Mazlan untuk minta hantar saya buat kerja PR (pegawai perhubungan). Sakit belakang sebab jauh dari Jalan Lumut ke Shah Alam, tapi saya redah juga,” imbasnya.
Menyifatkan itu semua pengalaman mahal, Lin turut berterima kasih kepada ramai pegawai perhubungan awam syarikat rakaman serta rakan wartawan yang banyak membantu melancarkan urusannya.
“Dahulu kami rapat, macam adik beradik sebab selalu jumpa. PR kena turun padang. Masa itu antara yang banyak bagi tunjuk ajar mengenai tulis kenyataan media, jemputan acara, kendalikan wawancara kerana saya pun ‘handle’ publisiti untuk artis jika ada program berkaitan radio adalah Kak Nor, ibu kepada pelakon Amira Rosli yang juga PR Warner Music serta Sariah, PR Life Record .
“Mereka bagi bimbingan, begitu juga PR lain. Sebab itu saya kerap balik lambat. Hati ibu mana tidak sayu melalui kitaran harian sebegitu sedangkan anak-anak memerlukan kita di sisi. Apa pun saya bersyukur mereka sangat memahami situasi ketika itu.
“Disebabkan faktor masa juga membuatkan saya tak dapat semak kerja sekolah anak.
“Balik rumah saya uruskan hal mengemas pula. Dapat tidur pun beberapa jam sahaja. Cukuplah sekadar rehatkan minda seketika,” kongsinya.
Kadangkala, wanita berjiwa kental itu terdiam sebentar pada saat leka bercerita, malah setiap kali menyebut perihal permata hati yang kini sudah menginjak usia 25 dan 23 tahun serta berada di menara gading, matanya mula berkaca.
Barangkali terkenangkan momen bersama insan tersayang yang tidak dapat diulang kembali, nada suaranya tersekat-sekat menahan syahdu.
Begitupun, anak jati Johor itu menyifatkan pengorbanannya berbaloi malah tidak sedetik pun menyalahkan takdir yang tertulis untuknya.
“Saya ada Allah. Dialah tempat saya mengadu, menzahirkan emosi. Memang saya menangis sepuas-puasnya ketika berada di fasa terendah, tapi di atas sejadah.
“Saya pun insan lemah, mungkin pada zahirnya di hadapan teman sekerja, kawan rapat dan keluarga saya nampak kuat sebab hari ini bercerai, esoknya saya muncul di konti macam tiada apa-apa berlaku.
“Bagi saya setiap dugaan itu ada hikmahnya. Allah tahu sekuat mana hamba-Nya. Akan ada pelangi di kemudian hari,” ujarnya.

Tidak sunyi
Dalam segala kepayahan, personaliti yang empat kali bergelar penyampai radio popular Anugerah Bintang Popular (ABP) itu tetap bersyukur dikelilingi keluarga yang tidak pernah putus memberikan sokongan.
Bahkan selepas hampir dua dekad menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal, DJ Lin sejujurnya mengakui tidak pernah berasa sunyi.
Dua anaknya menjadi sahabat paling rapat yang menjadi saksi jatuh bangunnya selama ini.
Mereka melihat sendiri bagaimana seorang wanita yang pernah kehilangan segalanya bangkit membina semula kehidupan dengan tangan dan kudrat sendiri.
Hari ini, kejayaan yang dikecapi bukan sekadar miliknya seorang. Ia kemenangan seorang ibu yang memilih untuk terus berdiri ketika hidup cuba menjatuhkannya.
Kemenangan seorang insan yang menjadikan air mata sebagai doa dan kepayahan sebagai kekuatan sebalik suara yang terus menemani malam pendengar radio, terutama dalam segmen Suria Cinta, tersimpan kisah insan yang membuktikan kasih sayang mampu mengalahkan badai.
Ditanya sama ada sudah menutup pintu hati, sebenarnya tiada istilah sunyi tanpa teman dalam diari hidupnya sepanjang tempoh dua dekad menggalas status solo.
“Bohonglah kalau saya kata tiada yang mahu mendekati. Ada, cuma ‘rasa’ itu belum tiba. Mungkin saya workaholic atau sudah selesa hidup bertiga dengan anak-anak.
“Melihat ‘nyawa’ saya semakin membesar beri satu kepuasan. Merekalah ‘BFF’ yang nampak jatuh bangun saya selama ini. Selepas ini mereka pula akan berkeluarga dan berikan saya cucu pula. Jadi rasanya kasih sayang yang sarat ini sudah cukup sempurna,” kongsinya menutup bicara.















