PETALING JAYA – “Soal jadi kahwin atau tidak, nanti boleh tanya semula pada 30 Jun.”
Itu respons Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq mengenai status perkahwinannya dengan Bella Astillah sekiranya keputusan rayuan akhir terhadap pembebasannya daripada tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tidak memihak kepadanya.
Menurut Saddiq atau nama lengkapnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, selepas enam tahun melalui proses turun naik mahkamah, dia yakin berada di pihak yang benar.
“Sukar untuk saya komen tentang situasi A atau B yang akan berlaku. Lebih baik kita tunggu keputusan nanti.
“Tetapi yakinlah dan letaklah kepercayaan dengan Allah SWT. Jika kita yakin kita di pihak yang benar, insya-Allah semuanya akan berjalan dengan baik,” katanya ketika ditemui pada majlis solat hajat dan doa selamat, di Madrasatul Hajjah Zubaidah, di sini, hari ini.
Ditanya bagaimana perasaannya ketika ini selepas berbaki hanya lima hari sahaja lagi sebelum keputusan diumumkan, kata Saddiq dia berada dalam keadaan tenang.
“Saya tenang kerana saya yakin saya berada di pihak yang betul. Kes ini dah nak masuk tahun ketujuh. Saya tidak pernah menangguhkan kes ini. Tidak pernah mohon kes ini digugurkan. Tidak pernah merayu menggunakan saluran politik walaupun boleh.
“Saya juga ingin menghantar isyarat kepada anak muda di luar saya jika berhadapan dengan masalah jangan gentar, jangan takut, kita perlu sentiasa berprinsip dan bermaruah. Berkatalah benar,” jelasnya.
Biarpun tunangnya tidak dapat menghadiri majlis solat hajat yang dianjurkan atas tuntutan kerja, namun Saddiq tetap bersyukur dengan segala sokongan yang diberikan di kala suka dan duka mereka bersama.
“Bella dan anak-anaknya sentiasa memberikan saya keceriaan, kebahagiaan dan ketenangan yang luar biasa. Walaupun kadang kala emosi seperti ribut taufan.
“Harapan saya jika semuanya berjalan dengan baik Selasa ini, ini semua adalah berkat doa mereka juga,” ujarnya.
Bercakap tentang majlis solat hajat yang dihadiri kira-kira 300 orang termasuk keluarga, sahabat dan penyokong, Saddiq terharu dengan sokongan yang diberikan kepadanya.
“Terima kasih kepada semua yang datang secara fizikal dan juga memberikan sokongan secara virtual. Saya terhutang budi.
“Tanpa doa-doa kalian mungkin saya tidak sekuat hari ini. Doa kalian adalah sesuatu yang luar biasa
“Selama enam tahun saya berjuang, memang tidak mudah. Saya hilang kawan. Tetapi itulah lumrah perjuangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














