fbpx
Gambar Allahyarham yang dimuat naik dalam hantaran ibunya di Threads.

‘Mama doa dapat jumpa penerima kornea Mirul sebagai pengubat rindu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Mama doa satu hari nanti mama dapat jumpa penerima kornea mata Mirul sebagai pengubat rindu.”

Demikian luahan menyentuh hati seorang ibu yang kehilangan anak sulung, Allahyarham Muhammad Jaris Amirul Sharulanuar akibat kemalangan jalan raya di Iskandar Puteri, Johor pada 23 Mei lalu.

Menerusi perkongsian di Threads, Norafinidin berkata, dia dan suaminya mengambil keputusan mendermakan kornea mata anak mereka sebagai hadiah terakhir agar insan lain mendapat sinar baharu.

Katanya, keputusan mendermakan kornea itu dibuat bersama suami sebelum proses bedah siasat ke atas Allahyarham Muhammad Jaris Amirul dijalankan.

“Saya dan suami menjadi pengikrar derma organ sejak 2008. Anak-anak semua tahu pendirian kami.

“Mama dan abah dermakan kornea mata Mirul sebagai hadiah untuk memberi cahaya dan sinar baharu kepada orang lain. Semoga asbab ini menjadi ganjaran pahala yang berterusan buat anakku, arwah Muhammad Jaris Amirul,” katanya.

Wanita itu berkata, arwah anaknya meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sewa dari tempat kerja.

Norafinidin menyifatkan kehilangan anak sulungnya sebagai ujian paling berat buat keluarga, namun memaklumkan arwah merupakan anak yang bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan ibu bapa.

“Anak sulung yang sentiasa bertanggungjawab walaupun kami sudah mampu, dia tetap berkongsi rezeki dengan kami. Dia sanggup berkorban demi restu ibu.

“Kata laluan telefon, nombor PIN kad bank dan kad kredit semuanya diberikan kepada saya untuk kegunaan keluarga. Bila tidak digunakan nanti, mama pasti akan teringatkan dia,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, ahli keluarga Allahyarham turut merakamkan penghargaan kepada Unit Perolehan Organ Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) dan Jabatan Forensik hospital itu yang membantu melancarkan urusan pendermaan organ sebelum jenazah dibawa pulang ke Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.

Perkongsian menyentuh hati itu menerima ribuan tanda suka dan ratusan komen daripada netizen yang menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan agar pahala daripada pendermaan kornea tersebut terus mengalir sebagai amal jariah buat Allahyarham.

Ramai yang menyifatkan keputusan keluarga itu sebagai pengorbanan besar yang memberi harapan baharu kepada insan lain untuk kembali melihat dunia, sekali gus menjadi bukti bahawa di sebalik sebuah kehilangan, masih ada sinar buat mereka yang memerlukan.

“Puan mempunyai hati yang sangat besar kerana membuat keputusan ini. Semoga dipermudahkan urusan sekeluarga dan murah rezeki ya,” kata Siti.

“Puan, saya membaca perkongsian ini dengan hati yang sebak. Di sebalik kehilangan yang begitu besar, mama dan abah memilih untuk menghadiahkan cahaya kepada orang lain. Itu kasih yang luar biasa.

“Saya percaya, setiap kali penerima kornea itu melihat wajah yang disayanginya, memandang langit, atau menikmati indahnya dunia, ada pahala yang terus mengalir buat arwah Muhammad Jaris Amirul,” komen Rizal pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN