fbpx
Erysha sedaya upaya menolak tepi perasaan sedih memandangkan perlu menyelesaikan komitmen kerja di set penggambaran yang perlu dihadiri setiap hari.

Erysha terpaksa tolak tepi rasa sedih demi komitmen kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Rindu segalanya sebab saya rapat dengan dia. Saya sangat manja jadi bila dia tak ada rasa kosonglah.”

Demikian perkongsian pelakon Erysha Emyra yang tidak dapat menahan sebak mengenang pemergian bapa kandungnya, Datuk Zakaria Abdul Rahman, baru-baru ini.

Menurut Erysha atau nama penuhnya Nur Erysha Emyra Zakaria, 27, dia sedaya upaya menolak tepi perasaan sedih memandangkan perlu menyelesaikan komitmen kerja di set penggambaran yang perlu dihadiri setiap hari.

“Pemergian ayah ini saya rasa tak mampu lagi nak cakap apa-apa. Buat masa sekarang saya cuma cuba yang terbaik untuk tolak tepi perasaan itu sekejap sebab ada komitmen.

“Jadi setiap hari pun saya cuma kena masuk set, buat semua ini tapi okeylah.

“Saya rasa nanti habis penggambaran baru saya akan hadapi semua ini balik,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui usai program MeleTOP.

Bercerita lanjut, pelakon drama Ikatan Terlarang itu berasa ralat kerana terlalu sibuk dengan jadual seni sewaktu bapanya jatuh sakit.

Bagaimanapun, dia bersyukur apabila pihak produksi sanggup memberikan pelepasan cuti demi membolehkannya berada di sisi arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Masa dia sakit itu saya sangat sibuk dengan penggambaran. Jadi mungkin kekurangan masa dengan dia.

“Tapi saya bersyukur dengan produksi Ikatan Terlarang sebab saat saya telefon mereka beritahu ayah saya masuk kecemasan, mereka terus bagi cuti.

“Bila saya sampai kecemasan dan ayah terus masuk ICU (Unit Rawatan Rapi) serta ditidurkan dalam masa kurang lima jam, produksi terus bagi cuti seminggu.

“Saya sangat hargai sebab saya dapat luangkan masa dengan ayah saya dan dia pergi di depan saya juga. Kalau saya dekat set tiba-tiba dapat panggilan, saya lagi sedih,” jelasnya.

Meskipun reda dengan ketentuan Ilahi, anak kepada pelakon Datin Seri Noniswara itu akan menjadi penyambung doa buat arwah selain bertekad mahu mengotakan pesanan terakhir yang ditinggalkan.

“Memang bukan sesuatu yang mudah untuk sesiapa pun lalui tapi mungkin dengan masa itu kita makin lama makin reda dan okey.

“Sekarang mungkin kita dah tak ada doa seorang ayah tapi kitalah yang kena doakan dia.

“Dia minta saya jaga keluarga, amanah dia dan minta kami terus gembira serta bersatu,” katanya.

Sebelum ini, Erysha memohon doa orang ramai buat bapanya yang berada dalam keadaan kritikal di ICU.

Beberapa hari kemudian, bapanya dilaporkan meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN