fbpx
SEBAHAGIAN dari 56 calon BN hadir sempena Majlis Pengumuman Calon BN di Pejabat Perhubungan UMNO Johor, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

PRN Johor: 10 Exco kekal, Khairin-Nisa satu-satunya digugurkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seramai 10 daripada 11 anggota barisan Exco Kerajaan Negeri Johor yang berkhidmat sebelum ini kekal diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Bagaimanapun, seorang Exco Kerajaan Negeri iaitu bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail @ Md On menjadi satu-satunya nama yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN).

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom itu tidak diumumkan sebagai calon pada PRN kali ini, sebaliknya digantikan dengan muka baharu, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan senarai calon BN tersebut pada Majlis Pengumuman Calon BN PRN Johor di sini hari ini.

Selain itu, daripada barisan Exco sedia ada, seorang lagi menyaksikan perubahan kerusi apabila bekas Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar dipindahkan daripada DUN Tenggaroh ke DUN Kemelah.

Kerusi DUN Tenggaroh yang ditinggalkan Raven Kumar pula akan ditandingi Mohd Youzaimi Yusof yang sebelum ini bertanding di DUN Endau pada PRN Johor 2022.

Sembilan lagi Exco termasuk Onn Hafiz kekal mempertahankan kerusi masing-masing, antaranya Onn Hafiz (Machap), Datuk Zahari Sarip (Buloh Kasap), Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir), Mohd Fared Mohd Khalid (Semerah), Ling Tian Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh), Aznan Tamin (Tanjung Surat), Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Bukit Permai) serta Mohd Hairi Mad Shah (Larkin).

Perkembangan itu menyaksikan BN Johor mengekalkan sebahagian besar barisan pentadbiran negeri sedia ada bagi menghadapi PRN Johor kali ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN