SPESIES ikan yang selalu disalah anggap sebagai ikan ‘kaci’ oleh pemancing ini dapat diternak di dalam sangkar atau kolam akuakultur. Ini menyebabkan ia menjadi antara populasi pilihan di dalam kolam bayar air masin.
Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai mangrove jack (MJ) dengan nama saintifiknya Lutjanus argentimaculatus.
Mengikut lokaliti di dalam negara kita, ia turut dikenali sebagai kakap merah, siakap tengah jika ditangkap di kawasan laut lepas di perairan sebelah Utara Semenanjung, ‘kambing’ di sebelah Selatan tanah air dan secara jenaka sebagai ‘Mak Janda’ berikutan singkatan daripada MJ.
Profil
Seperti kebanyakan spesies dalam keluarga Lutjanidae, MJ memiliki tubuh yang padat, sisik kasar dan bergigi tajam bercerangah, menjadikan ia pemburu efektif di habitatnya.
MJ mempunyai bentuk badan yang tegap dan berotot. Warna merah bata atau merah keperangan pada badannya membuatkan ia cukup mudah dikenali, terutama spesimen dewasa yang menghuni kawasan laut dalam.
Namun, bagi juvenil yang hidup di muara, warna badannya lebih gelap atau kehitaman bagi membantu penyamaran di kawasan akar pokok bakau.
Apa yang menjadikan spesies ini unik adalah kitaran hidupnya yang melibatkan pelbagai habitat.
Ia bermula di laut terbuka apabila induk yang matang akan bertelur berhampiran terumbu karang.
Telur ikan ini bersifat planktonik, bermaksud ia terapung dan hanyut bersama arus sebelum menetas.
Selepas menetas, larva MJ akan terus terapung di lautan sambil bergantung kepada nutrien daripada kantung telur yang masih melekat pada tubuhnya.
Pada peringkat awal ini, saiznya terlalu kecil dan sangat terdedah kepada ancaman pemangsa.
Apabila memasuki peringkat juvenil, MJ mula berhijrah ke kawasan estuari atau muara sungai.
Habitat sebegini amat penting kerana ia menyediakan perlindungan daripada pemangsa, selain ada sumber makanan yang melimpah.

Bagi pemancing pula, di sinilah detik pertemuan pertama berlaku. Walaupun saiznya tidak besar, namun sifat agresifnya sudah mula terserlah.
Gewang minnow, soft plastic dan topwater pensil sering menjadi mangsa sambaran rakus spesies ini.
Apabila mencapai usia matang, kitaran MJ berubah sepenuhnya. Spesies ini akan berenang jauh meninggalkan habitat muara dan menuju ke laut dalam.
Di Malaysia, lokasi seperti Luconia Shoals, Sarawak dan Tukun Perak, Kedah cukup terkenal sebagai padang permainan ikan siakap merah bersaiz ‘monster’.
Jadi, tidak hairanlah spesies ini acap kali dipancing pada kedalaman melebihi 60 meter dengan jig atau pancing dasar.
Antara perkara yang paling mencabar ketika memancing MJ adalah kekuatan dan kecerdikannya ketika melarikan umpan.
Sama ada di muara atau laut dalam, ikan ini akan cuba kembali ke struktur berbatu karang atau reba untuk memutuskan tali.
Namun, tekanan penangkapan berlebihan, kemusnahan kawasan bakau dan pencemaran muara menyebabkan populasi MJ di sesetengah kawasan semakin terjejas.
















