fbpx
Syed Saddiq dan Bella Astillah.

Masjid tidak lulus majlis solat hajat Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pihak pengurusan Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Kelana Jaya memaklumkan tidak meluluskan penganjuran majlis solat hajat dan doa selamat untuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang dijadualkan pada esok.

Wakil pengurusan masjid berkenaan menegaskan, ia selaras dengan prinsip bahawa institusi berkenaan adalah bebas daripada sebarang agenda politik.

“Pihak pengurusan masjid ingin menegaskan bahawa masjid ini tidak terlibat dan tidak bersekutu dengan mana-mana parti atau individu ahli politik dalam sebarang penganjuran program masjid.

“Sebarang agenda bersifat politik memang tidak dibenarkan sama sekali. Segala program anjuran pihak masjid adalah berteraskan agenda dakwah, ibadat, pendidikan dan kewajipan masyarakat semata-mata,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Bagaimanapun, wakil masjid berkenaan memberitahu bahawa pihak pengurusan Bella Astilla telah pun dimaklumkan mengenai ketidaklulusan berkenaan.

“Kami telah pun menghubungi pihak pengurusan Bella Astillah bahawa masjid tidak memberi keizinan dan mereka pun telah batalkan (majlis).

“Cuma mungkin bahagian publisiti pengurusan mereka belum membuat hebahan,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, pelakon Bella Astillah mengajak orang ramai menunaikan solat hajat, esok bagi mendoakan prosiding keputusan rayuan akhir kes mahkamah melibatkan Syed Saddiq yang akan berlangsung pada 30 Jun depan berjalan lancar.

Bella Astillah berkata, dia berbesar hati menjemput orang ramai untuk sama-sama menjayakan majlis berkenaan di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra di Kelana Jaya.

“Kepada yang bukan muslim pun boleh datang juga selepas pukul 8.30 malam.

“Kepada yang akan hadir, datang pada pukul 7 malam, boleh solat maghrib bersama-sama, insya-Allah,” katanya dalam sebuah hantaran video. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN