fbpx
PEMAIN Croatia, Ante Budimir meledak gol pembukaan pasukannya ketika aksi Kumpulan L Piala Dunia 2026 menentang Panama di Stadium Toronto, Ontario, hari ini. -AFP

Piala Dunia 2026: Budimir hidupkan peluang Croatia ke pusingan kalah mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TORONTO – Croatia menghidupkan semula peluang mereka untuk melangkah ke pusingan kalah mati selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Panama dalam aksi Kumpulan L Piala Dunia 2026 di Stadium Toronto, sebentar tadi.

Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, penyerang berpengalaman Croatia, Ante Budimir muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-54.

Gol tersebut hadir menerusi gerakan kemas yang dimulakan oleh Marco Pasalic sebelum bola dihantar kepada Josip Stanisic yang melakukan hantaran lintang tepat ke arah Budimir.

Budimir yang dimasukan pada babak kedua perlawanan melakukan larian sempurna untuk mencetak gol untuk menewaskan penjaga gol Panama dan menghadiahkan kelegaan besar buat skuad kendalian Zlatko Dalic.

Jaringan itu ternyata cukup berharga buat Croatia yang sebelum ini tewas 2-4 kepada England dalam aksi pembukaan kejohanan.

Croatia menguasai sebahagian besar permainan, namun sering kali mensia-siakan peluang menerusi gerakan serangan yang kurang kemas sepanjang separuh masa pertama.

Bagaimanapun, perubahan taktikal yang dilakukan Dalic ketika rehat berjaya memberikan impak segera apabila Budimir memecahkan kebuntuan sejurus sembilan minit selepas babak kedua bermula.

Panama pula memberikan tentangan sengit dan mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang perlawanan, namun gagal memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang untuk mencari gol penyamaan.

Skuad dari Amerika Tengah itu sebenarnya tampil dengan corak permainan menyerang yang berani dan berjaya menyukarkan dua lawan lebih berpengalaman dalam kejohanan kali ini.

Namun, kekalahan kedua berturut-turut selepas tunduk 0-1 kepada Ghana pada aksi pertama menyaksikan Panama menjadi pasukan kelima yang tersingkir daripada saingan Piala Dunia 2026.

Sementara itu, kemenangan tersebut merupakan tiga mata pertama Croatia dalam kejohanan kali ini dan meletakkan mereka dalam kedudukan lebih baik untuk memburu slot ke pusingan 32 terbaik.

Croatia kini hanya perlu mengekalkan momentum pada perlawanan terakhir kumpulan menentang Ghana bagi memastikan impian meneruskan cabaran di pentas terbesar dunia itu terus menjadi kenyataan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN