PHILADELPHIA – Pengendali Perancis, Didier Deschamps memuji karakter pasukan untuk melakar kemenangan 3-0 ke atas Iraq dalam aksi Kumpulan I sekali gus lolos ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 kali ini.
Menurut Deschamps, barisan pemain memberikan reaksi positif selepas perlawanan ditangguhkan lebih dua jam kerana cuaca buruk dan menganggap kemenangan tersebut sebagai langkah penting dalam misi memburu sasaran lebih jauh kali ini.
“Pada separuh masa kedua, barisan pemain berjaya mengawal permainan sepenuhnya walaupun bukan mudah selepas apa yang berlaku (perlawanan ditangguhkan).
“Apa yang pasti, kami sudah layak walaupun saya percaya perlawanan terakhir menentang Norway masih penting untuk menentukan kedudukan siapa bakal juara kumpulan nanti,” katanya.
Pada perlawanan itu, Kylian Mbappe terus menyerlah apabila meledak dua gol dalam penampilan ke-100 bersama Les Bleus, manakala satu lagi gol dijaringkan oleh Ousmane Dembele.
Bintang Real Madrid itu kini mengumpul empat gol, dibezakan satu gol dengan Lionel Messi dalam perebutan Kasut Emas pada kempen kali ini selain mengumpul 16 jaringan keseluruhan.
Sementara itu, pertahanan kiri Perancis, Lucas Digne menyifatkan kemenangan itu sebagai satu lagi petanda positif bahawa pasukannya berada di landasan tepat untuk memburu trofi Piala Dunia.
“Ia satu lagi langkah ke hadapan buat kami. Kami tahu tujuan kami datang ke sini dan akan terus bekerja keras dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya. – AGENSI














