fbpx
IBRAHIM dan isterinya, Noresah Deros menunjukkan geran hak milik yang diserahkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Dewan Datuk Onn, Rumah Komuniti Sembrong di Taman Sri Lambak, Kluang hari ini. Foto oleh ADNAN IBRAHIM / KOSMO!

40 tahun tunggu, akhirnya terima geran sebelum ‘tutup mata’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Penantian seramai 76 peneroka Felda Kahang Timur untuk memiliki geran hak milik tanah sendiri selama hampir 40 tahun akhirnya menjadi kenyataan.

Bekas anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja, Ibrahim Jalil, 70, berkata, penyerahan hak milik tanah itu memberi makna besar dalam hidupnya selepas memohon menjadi peneroka Felda ketika berkhidmat dalam pasukan pada 1980 sebelum diluluskan sembilan tahun kemudian.

Katanya, selepas sekian lama menunggu untuk memperoleh geran hak milik, penyerahan tersebut menjadi sinar baharu buat dirinya bersama isteri dan lima anak mereka.

“Sebagai peneroka generasi pertama, penyerahan hak milik tanah ini amat bernilai buat kami, lebih-lebih lagi kerana ia boleh diwariskan kepada ahli keluarga pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, saya masih belum memutuskan siapa yang akan mewarisinya kerana daripada lima anak, hanya seorang lelaki dan mereka tinggal di luar kawasan Felda,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan hak milik tanah di Dewan Datuk Onn, Rumah Komuniti Sembrong, Taman Sri Lambak di sini hari ini.

Seorang lagi peneroka generasi pertama, Rukiah Sulaiman, 66, berkata, penyerahan geran hak milik tersebut disifatkan sebagai anugerah yang amat bermakna walaupun terpaksa menunggu dalam tempoh yang panjang.

Katanya, pemilikan geran berkenaan merupakan hasil titik peluh peneroka yang selama ini bertungkus-lumus mengusahakan kebun sehingga mampu menjana pendapatan kepada keluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN