KUALA LUMPUR – “Saya tak pernah sentuh simpanan itu sepanjang bekerja. Tapi akhirnya hampir RM500,000 daripada wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) saya lesap begitu sahaja.”
Demikian luahan seorang bekas pekerja syarikat swasta yang mahu dikenali sebagai Aisyah, 69, yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan menyebabkan sebahagian besar wang persaraannya hilang sekelip mata.
Menurut Aisyah, selepas bersara, dia mengeluarkan simpanan KWSP berjumlah hampir RM900,000 sebelum menyimpannya di sebuah bank.
Katanya, dia kemudian diperkenalkan kepada beberapa skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan pada peringkat awal menerima keuntungan seperti dijanjikan.
“Saya percaya sebab mereka pandai meyakinkan. Pada peringkat awal memang ada pulangan, jadi saya rasa yakin,” katanya ketika ditemui di perkarangan Menara KPJ, di sini hari ini.
Menurutnya, kehilangan wang itu memberi kesan besar kepada kehidupannya dan kini terpaksa bergantung kepada simpanan Tabung Haji untuk menampung perbelanjaan harian.
Selain itu, seorang pesara guru yang mahu dikenali sebagai Kob, 68, mendakwa dia kerugian RM80,000 wang pencen selepas melabur dalam sebuah koperasi yang disertainya pada 2020 hasil cadangan rakan.
Lelaki yang berasal dari Kelantan itu berkata, koperasi itu pada awalnya membayar hibah, namun pembayaran terhenti selepas enam bulan sebelum operasi syarikat berkenaan dipercayai ditutup tanpa sebarang penjelasan.
Katanya, dia bersama mangsa lain telah membuat laporan polis, namun mendakwa tiada perkembangan meskipun beberapa tahun sudah berlalu.
“Saya dah 68 tahun, tak lama dah. Jadi saya berharap kes ini dapat diselesaikan semasa hayat saya. Saya mohon pihak polis dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menyegerakan tindakan supaya mangsa mendapat pembelaan,” katanya.
Dalam pada itu, dua lagi pesara yang dikenali sebagai Norin, 65, dan Rozi, 64, turut menerima nasib sama apabila kerugian kira-kira RM250,000 seorang selepas melabur simpanan dalam sebuah syarikat.
Norin berkata, wang yang dilaburkan itu adalah sebahagian daripada simpanan KWSP yang dikumpul sepanjang kerjayanya sebelum memilih bersara awal pada 2019.
“Saya percaya kerana sudah lama mengenali ejen itu. Kita fikir wang persaraan boleh menjana pendapatan apabila tidak lagi bekerja. Empat bulan pertama dapat pulangan RM8,000 sebelum syarikat menghentikan pembayaran.
“Namun sehingga kini tiada berita. Sekarang saya terpaksa menjual apa sahaja aset yang ada untuk meneruskan hidup,” ujarnya.
Bagi Rozi pula, kerugian RM250,000 itu turut menjejaskan perancangan persaraannya selepas bertahun-tahun bekerja di sektor swasta.
“Siapa tidak tertarik apabila dijanjikan pulangan yang tinggi setiap bulan. Kita fikir dapat hidup lebih selesa selepas bersara. Tetapi akhirnya ia memusnahkan perancangan masa depan kami,” jelasnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknha telah menerima aduan daripada ratusan individu yang mendakwa menjadi mangsa skim pelaburan dengan kerugian mencecah lebih RM400 juta.
Menurutnya, perkara itu telah dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman, namun sehingga kini tiada pendakwaan dikenakan ke atas mereka yang mengendalikan 18 syarikat atau skim pelaburan terbabit meskipun identiti suspek sudah dikenal pasti. – KOSMO! ONLINE














