KUALA LUMPUR – Perkahwinan penuh liku akhirnya menemui penamat, suami kepada pempengaruh kontroversi Marissa Dania Hakim, Ahmad Aslam berharap pengesahan lafaz cerai yang disahkan mahkamah kali ini menjadi penutup terbaik buat kedua-dua pihak.
Aslam atau nama sebenarnya Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 27, dilihat tenang namun jelas menyimpan kepedihan saat mengulas tentang keputusan tersebut selepas melalui pelbagai proses perbicaraan.
“Bismillah. Saya tak banyak benda nak cakap.
“Saya harap keputusan mahkamah kali ini dan selepas semua perbicaraan kami lalui, adalah yang terbaik untuk kami berdua.
“Saya juga mohon orang ramai tidak lagi berkata buruk atau negatif kerana perkara ini turut melibatkan isteri saya, Umisya serta anak-anak,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambahnya lagi, keputusan tersebut diterima dengan reda dan dia berharap tiada lagi spekulasi atau cerita tidak benar berlegar selepas ini.
“Alhamdulillah, Allah sudah tetapkan keputusan. Insya-Allah ini yang terbaik untuk kami.
“Saya minta supaya tiada lagi perkara negatif timbul selepas ini. Biarlah semuanya berakhir dengan baik,” ujarnya selepas selesai prosiding keputusan lafaz cerai dan rujuk, di sini, hari ini.
Ketika diajukan soalan lanjut mengenai jumlah talak, Aslam memilih untuk mengunci mulut dan enggan mengulas secara terperinci.
“Itu saya tak boleh ulas lebih lanjut. Perkara itu biarlah,” tegasnya.
Aslam turut menitipkan doa buat bekas isterinya agar terus melangkah ke hadapan dengan lebih baik.
“Insya-Allah saya doakan yang terbaik untuk dia.
“Saya juga mohon semua doakan yang baik-baik. Semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran untuk kami dan semua.
“Itu saja, saya tak ada apa-apa lagi nak komen. Terima kasih,” tuturnya.
Terdahulu, Aslam hadir ke mahkamah sekitar pukul 9.30 pagi bagi prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk, manakala Marissa, 21, tampil berasingan dalam busana merah jambu belacan sambil memilih untuk tidak memberi sebarang kenyataan.
Riak wajahnya bagaimanapun tidak mampu menyembunyikan kesedihan sepanjang prosiding berlangsung.
Pasangan tersebut diwakili peguam syarie, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri.
Untuk rekod, Aslam sebelum ini dilaporkan melafazkan cerai dan rujuk sebanyak dua kali, masing-masing pada September 2024 dan April tahun lalu sebelum kembali rujuk beberapa bulan kemudian, sekali gus menjadikan perpisahan kali ini sebagai noktah muktamad buat hubungan mereka. – KOSMO! ONLINE.














