fbpx
Kylian Mbappe meledak dua gol pada aksi bertemu Iraq, pagi tadi.

Piala Dunia 2026: Mbappe cemerlang bantu Perancis dalam ‘ribut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PHILADALEPHIA – Kapten Perancis, Kylian Mbappe terus membuktikan statusnya sebagai antara penyerang terbaik dunia apabila meledak dua gol dalam penampilan ke-100 bersama negaranya untuk membantu Perancis menewaskan Iraq 3-0 pada aksi Kumpulan I Piala Dunia 2026, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus mengesahkan tempat Les Bleus ke pusingan kalah mati selepas meraih enam mata ketika saingan kumpulan berbaki satu perlawanan.

Mbappe membuka tirai jaringan pada minit ke-14 sebelum menambah gol kedua sembilan minit selepas babak kedua bersambung, manakala satu lagi gol Perancis dijaringkan oleh pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembélé.

Aksi di Stadium Lincoln Financial Field itu bagaimanapun terpaksa dihentikan lebih dua jam ketika rehat separuh masa susulan ribut petir dan hujan lebat yang melanda bandar Philadelphia.

Sebaik wisel penamat babak pertama ditiup, ribuan penyokong diarahkan meninggalkan kawasan tempat duduk terbuka dan mendapatkan perlindungan di kawasan berbumbung stadium.

Perlawanan tersebut menjadi aksi pertama pada Piala Dunia 2026 yang terjejas akibat cuaca buruk, sejajar dengan protokol keselamatan ketat di Amerika Syarikat yang mewajibkan permainan dihentikan sekiranya ribut petir dikesan berhampiran stadium.

Namun, kelewatan itu langsung tidak menjejaskan rentak Perancis yang kembali menguasai permainan selepas aksi disambung semula.

Bagi Mbappe, dua jaringan tersebut menambah lagi koleksi golnya di pentas Piala Dunia kepada 16 gol dalam hanya 16 penampilan.

Jumlah itu meletakkannya di tangga kedua senarai penjaring terbanyak sejarah Piala Dunia, hanya dibezakan dua gol di belakang Lionel Messi yang mengumpul 18 gol selepas turut menjaringkan dua gol ketika Argentina menewaskan Austria. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN