fbpx
Pulau Besar kembali dibuka secara terkawal kepada nelayan berlesen bagi aktiviti penangkapan ikan. Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

Pulau Besar kembali jadi lubuk rezeki nelayan Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Pulau Besar kembali dibuka secara terkawal kepada nelayan berlesen di Melaka selepas Kerajaan Persekutuan membenarkan semula aktiviti penangkapan ikan di sebahagian kawasan larangan perikanan di perairan tersebut.

Seramai 1,241 nelayan berlesen di negeri ini dijangka menerima manfaat daripada keputusan itu yang dibuat pada 15 April lalu itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kawasan perairan Pulau Besar diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan sejak 1998 di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 bagi tujuan pemuliharaan sumber marin dan biodiversiti.

Namun, katanya, Kerajaan Pusat mengambil kira kepentingan sosioekonomi komuniti nelayan tempatan dan bersetuju memberi kebenaran khas kepada nelayan berlesen di Melaka untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara terkawal di kawasan yang ditetapkan.

“Keputusan ini memberi keseimbangan antara usaha pemuliharaan sumber perikanan negara dengan keperluan rakyat untuk meneruskan sumber pendapatan mereka,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Beliau berkata, menerusi Pekeliling Pelesenan Bilangan 2 Tahun 2026 yang dikeluarkan Jabatan Perikanan, kebenaran itu hanya diberikan kepada nelayan berlesen yang berpangkalan di Melaka menggunakan vesel atau sampan tradisional yang mempunyai lesen sah.

Katanya, aktiviti penangkapan ikan hanya dibenarkan menggunakan kaedah kail seperti pancing, rawai dan candat sotong dengan operasi bermula dari pukul 6 pagi hingga 6 petang di kawasan yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN