BARU-BARU ini, Setel Ventures Sdn. Bhd. (Setel) telah memperkenalkan ciri pembayaran bil bagi membolehkan pengguna membayar utiliti penting secara terus melalui aplikasi Setel.
Ciri tersebut membolehkan pengguna membuat pelbagai bayaran bil penting seperti air, telekomunikasi dan perkhidmatan jalur lebar dalam satu platform yang mudah dan lancar.
Menerusi integrasi bersama 25 penyedia bil seperti Astro, CelcomDigi, TM, Air Selangor dan Indah Water, pengguna kini boleh mengurus komitmen bulanan dengan lebih pantas serta teratur.
Selaras dengan peranan Setel yang semakin meluas menerusi pendekatan ‘Setel je! serta #SetelUntukMalaysia’, ciri itu direka untuk memudahkan pengurusan kewangan isi rumah agar lebih efisien.
Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Abdullah Ayman Awaluddin berkata, Setel merupakan aplikasi yang dibangunkan berasaskan keperluan rakyat.
“Kami percaya teknologi harus memudahkan kehidupan dengan menjadikan perkhidmatan penting lebih mudah diakses, mesra pengguna dan menyeluruh.
“Pengenalan ciri pembayaran bil ini merupakan satu lagi langkah dalam evolusi kami untuk memenuhi keperluan harian pengguna yang semakin meluas, bukan hanya terhad kepada pengisian minyak.
“Kami juga memastikan setiap penambahbaikan memberi nilai sebenar kepada kehidupan seharian.

“Sebagai jenama tempatan, kami kekal komited membangunkan solusi yang praktikal, relevan dan dekat dengan realiti pengguna,” ujarnya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.
Bermula sebagai solusi mudah untuk pengisian minyak, Setel kini berkembang seiring keperluan harian rakyat Malaysia.
Pada hari ini, aplikasi itu memainkan peranan lebih luas dengan memudahkan rutin harian melalui perkhidmatan yang ringkas, mesra pengguna dan mudah diakses.
Dengan menghimpunkan pelbagai keperluan penting dalam satu platform, Setel menjadikan pengurusan urusan harian lebih efisien dan bersepadu.
Sementara itu, pelancaran ciri pembayaran bil turut mencerminkan usaha berterusan Setel untuk memperluaskan fungsinya melangkaui mobiliti.
Pengguna kini boleh menikmati pengalaman aplikasi yang lebih menyeluruh, termasuk akses kepada perkhidmatan penting, pengurusan pembayaran dipermudahkan serta pelbagai tawaran nilai tambah melalui promosi disediakan.
Sebagai aplikasi harian yang dipercayai rakyat Malaysia, Setel turut memperkukuh ekosistemnya merangkumi lebih daripada sekadar keperluan bahan api.
Daripada pengisian minyak hingga pembayaran bil isi rumah, Setel memudahkan pelbagai keperluan melalui perkhidmatan digital bersepadu dan direka untuk kegunaan harian.
“Pada masa hadapan, Setel akan terus berkembang sebagai platform yang bukan sahaja berinovasi, malah memberi pengalaman bermakna kepada rakyat Malaysia dari semasa ke semasa,” tambah Abdullah Ayman.
Bagi meraikan pelancaran ciri itu, Setel menawarkan pulangan tunai 10 peratus kepada pengguna bagi transaksi pembayaran bil, tertakluk kepada maksimum RM10 sebulan.
Promosi tersebut berlangsung sehingga 18 Julai ini bagi memberikan penjimatan tambahan serta menggalakkan pengguna menikmati kemudahan ciri tersebut.
















