PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat di beberapa kawasan di Semenanjung, Sabah dan Labuan hingga pukul 11 pagi ini.
MetMalaysia berkata, di Semenanjung, kawasan yang terlibat ialah Pulau Pinang di daerah Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan serta Perak di Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Sabak Bernam, Selangor dan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor,” katanya.
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman iaitu Kuala Penyu dan Beaufort, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Tawau dan Semporna) dan Kudat.
Cuaca buruk itu dijangka berlaku di seluruh Labuan.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














