MARANG – Modul latihan serta pembangunan modal insan Akademi Perikanan Malaysia kembali diperkukuh dengan kehadiran yang kembali beroperasi selepas menjalani kerja-kerja naik taraf dan baik pulih menelan belanja RM10.14 juta.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata,pembaikan sistem teknikal pengoperasian dan perolehan peralatan pukat serta penambahbaikan enjin baharu menelan belanja RM10.14 juta.
“Kerja-kerja baik pulih dan naik taraf KL Cermin dilakukan Kuala Penyu, Sabah sejak tahun 2023. Sebaik siap, ia dibawa pulang dari Kuala Penyu ke Akademi Perikanan Terengganu di sini dalam pelayaran yang mengambil masa lima hari empat jam,” katanya selepas merasmikan semula pengoperasian semula KL Cermin di Akademi Perikanan Malaysia di sini, hari ini.
Adnan berkata, KL Cermin yang seberat 160 tan metrik telah dilengkapi sistem pukat jerut sepanjang 1.3 kilometer dan boleh mencapai kedalaman maksimum 70 meter apabila dilabuhkan.
Beliau berkata, kelengkapan pukat jerut itu bagi membolehkan pelaksanaan simulasi operasi penangkapan ikan komersial dalam situasi sebenar kepada pelatih Akademi Perikanan Malaysia.
“Ia juga dilengkapi sistem sonar imbasan terkini model CH-600 yang membolehkan pengesanan kumpulan ikan serta pemetaan dasar laut dilakukan dengan lebih tepat dan efisien. KL Cermin juga mempunyai tangki penyimpanan yang boleh mengisi 22,000 liter diesel sekaligus mampu berlayar secara berterusan di laut selama 10 hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE









