KOTA BHARU – Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan penglibatannya dalam amalan rasuah membabitkan sejumlah wang RM53 juta yang disalurkan kepada individu tertentu untuk memindahkan tiga gajah dari Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke sebuah zoo di Jepun.
Sehubungan itu, beliau mempelawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.
“Saya sudah kata, saya mengalu-alukan (jika SPRM mahu menjalankan siasatan). Kalau mahu siasat, silakan sebab benda itu saya tidak terlibat. Kalau mereka (SPRM) mahu siasat, itu hak merekalah. Maknanya, ‘welcome’ kalau SPRM mahu siasat saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi Jelajah Kancil Negeri Kelantan di Pantai Cahaya Bulan di sini malam tadi.
Nik Nazmi sebelum ini menjelaskan, walaupun perbincangan awal mengenai pemindahan gajah berkenaan bermula ketika beliau masih memegang jawatan menteri, tetapi kelulusan akhir diberikan selepas beliau meletakkan jawatan pada Julai tahun lalu.
Katanya, urusan tersebut juga bukan penjualan hidupan liar secara komersial, sebaliknya pemindahan rentas sempadan antara Zoo Taiping dan Zoo Tennoji serta bukan perjanjian langsung antara kerajaan dengan kerajaan. – KOSMO! ONLINE














