IPOH – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim kembali menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) selepas enam tahun meninggalkan parti itu.
Penyertaan semula bekas Ketua Pemuda Amanah Perak itu diumumkan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi ketika Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Tambun 2026, di sini hari ini.
Hasnul Zulkarnain berkata, beliau telah mengemukakan permohonan untuk menyertai semula Amanah pada tahun lalu, namun permohonan itu hanya dipertimbangkan selepas mendapat sokongan daripada kepimpinan parti di peringkat negeri.
“Saya merayu agar nama saya dapat dipertimbangkan dan alhamdulillah mendapat sokongan Datuk Asmuni di mana beliau telah mengesyorkan nama saya dalam mesyuarat berkenaan pada 18 Jun lalu. Alhamdulillah, Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional pada dasarnya meluluskan keahlian saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan bertanding pada Pilhan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), Hasnul Zulkarnain menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menawarkan diri sebagai calon.
Pada 9 Mac 2020, Hasnul Zulkarnain bersama dua ADUN DAP mengumumkan keluar parti menjadi wakil rakyat bebas selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang di Perak berikutan pembentukan Perikatan Nasional (PN).
Bekas Ketua Pemuda Amanah itu kemudiannya mengambil keputusan menyertai Bersatu pada 29 Julai 2020 namun ‘jodoh’ Hasnul Zulkarnain bersama Bersatu tidak panjang setelah beliau dipecat parti itu pada Disember tahun sama. – KOSMO! ONLINE














