KOLEKSI ‘Duality: Illusion and Reality’ dihasilkan oleh Myrra (dua dari kanan).

Koleksi fesyen ilusi optik Myrra Salleh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PAKAIAN bukan sekadar helaian yang dipakai untuk menutup tubuh, sebaliknya menjadi medium ekspresi yang membawa naratif, emosi dan persoalan terhadap cara manusia melihat dunia. 

Hasil idea tersebut, rekaan bertajuk ‘Duality: Illusion and Reality’ tampil sebagai sebuah eksplorasi visual yang mengangkat konsep persepsi melalui inspirasi seni optikal dan ilusi optik, lalu diterjemahkan dalam bentuk wearable art yang berani serta eksperimental.

Rekaan yang dihasilkan oleh pereka terkenal tempatan, Myrra Salleh itu berpaksikan kepada persoalan asas tentang bagaimana manusia mentafsir sesuatu yang dilihat. 

Myrra atau nama sebenar Nurul Umirra Salleh berkata, tidak semua yang kelihatan seperti yang disangka, dan di sinilah kekuatan seni optikal menjadi sumber utama inspirasi. 

“Aliran seni visual ini terkenal dengan penggunaan garis tebal, susunan corak berulang serta permainan kontras yang mampu mencipta kesan seolah-olah permukaan bergerak atau berubah bentuk, walaupun hakikatnya statik. 

“Kesan visual tersebut mengundang pemerhati untuk berhenti seketika dan melihat semula, sekali gus mewujudkan pengalaman yang penuh persoalan antara yang nyata atau sekadar persepsi,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, konsep ilusi optik dalam rekaan di bawah jenama Illuse itu tidak hanya bergantung kepada permainan corak semata-mata, tetapi turut menekankan pembentukan struktur yang kemas dan jelas. 

Siluet yang dipilih cukup ringkas, namun tegas bagi membolehkan elemen geometri menjadi fokus utama. 

Dalam pendekatan ini, kekuatan struktur menjadi bahasa visual yang menyokong tema dualiti antara lapisan luaran dan identiti sebenar.

Kongsinya lagi, proses pembangunan rekaan koleksi itu dimulakan secara digital menerusi aplikasi Procreate. 

Platform itu digunakan untuk membina motif geometri melalui teknik pengulangan corak, putaran serta manipulasi kontras bagi menghasilkan ilusi visual yang diinginkan. 

FABRIK neoprene dipilih sebagai material utama dalam koleksi berkenaan.

Namun, proses kreatif tidak berhenti di skrin semata-mata. Motif yang dihasilkan, kemudian diterjemahkan ke dalam eksperimen kolaj secara manual untuk menguji susunan dan interaksi corak terhadap siluet pakaian. 

Pendekatan itu memberi peluang kepada pereka untuk menilai keseimbangan visual secara lebih langsung, sebelum keseluruhan reka bentuk dipindahkan semula ke dalam format digital.

“Dari sudut warna, pilihan hitam dan putih menjadi elemen paling signifikan dalam memperkukuhkan identiti rekaan. 

“Kombinasi klasik ini sinonim dengan Optical Art kerana keupayaan menghasilkan kontras tinggi yang memperjelaskan permainan ruang, kedalaman dan pergerakan visual. 

“Dalam masa sama, penggunaan dua warna tersebut turut memperkukuhkan mesej dualiti yang menjadi teras utama koleksi ini,” ujarnya.

Katanya lagi, bagi merealisasikan bentuk yang diinginkan, fabrik neoprene dipilih sebagai material utama. 

Karakter fabrik yang mempunyai struktur kukuh, namun masih fleksibel menjadikannya sesuai untuk menghasilkan siluet berbentuk tanpa mengorbankan aspek boleh pakai. 

Sementara itu, teknik cetakan pada permukaan neoprene digunakan untuk memindahkan motif geometri secara jelas dan kemas, sekali gus memastikan kesan ilusi dapat dipersembahkan dengan optimum.

Sentuhan akhir diberikan melalui teknik ‘quilting’ menggunakan lapisan fiber bagi menghasilkan dimensi tambahan pada permukaan fabrik. 

Garisan jahitan yang terbentuk mencipta tekstur dan kedalaman visual, sekali gus menjadikan corak kelihatan hidup serta seakan bergerak. 

Namun apabila diamati secara dekat, struktur jahitan dan pembinaan fabrik mula didedahkan bagi memperlihatkan realiti di sebalik ilusi tersebut.

“Melalui gabungan seni visual, eksperimen material dan pembentukan siluet yang tersusun, koleksi ini membuktikan bahawa fesyen bukan sekadar penampilan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN