MARANG – Seramai 60,698 pendaftaran kelahiran membabitkan warga asing termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) telah direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan sejak tahun 2000.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, rekod pendaftaran kelahiran tersebut melibatkan tiga kategori utama iaitu warga Myanmar, Burma dan pemegang kad UNHCR.
Beliau berkata, sebahagian besar kelahiran tersebut dipercayai melibatkan etnik Rohingya, namun JPN tidak memecahkan angka mengikut kategori bagi mengelakkan ketidaktepatan data.
“Setakat ini dalam rekod kita terdapat lebih 60,000 pendaftaran kelahiran melibatkan tiga kategori tersebut (Myanmar, Burma dan pemegang kad UNHCR) sejak tahun 2000.
“Sebahagian besarnya melibatkan kelompok ini, namun terdapat juga pemegang kad UNHCR daripada kumpulan lain dan jumlah mereka kurang daripada lima peratus,” katanya di Kampung Padang Tanjung di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui pada program Santuni Madani Bersama Komuniti perkampungan tersebut.
Badrul Hisham menegaskan, pendaftaran kelahiran yang dibuat di negara ini tidak secara automatik melayakkan seseorang itu memperoleh status kewarganegaraan.
Beliau berkata, status kewarganegaraan seseorang anak ditentukan berdasarkan kewarganegaraan ibu bapa serta status perkahwinan mereka. – KOSMO! ONLINE














