fbpx
AISYAH Rofina (tengah) memecut ke garisan penamat ketika beraksi dalam acara 100 meter wanita pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium UPM, Serdang, sebentar tadi.

Aisyah ungguli pecut 100m

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Pelari pecut wanita negara, Aisyah Rofina Aling akhirnya berjaya memecahkan rekod peribadi terbaik (PB) yang diburunya sejak beberapa bulan lalu dalam acara 100 meter (m) wanita pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), sebentar tadi.

Lebih manis, catatan 11.707 saat itu bukan sahaja memperbaharui rekod peribadinya, malah menghadiahkan pingat emas acara 100 meter (m) wanita selepas menewaskan pencabar utama negara, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira yang mencatat 11.710s.

Aisyah mengakui ketika perlumbaan berakhir, fokusnya bukan kepada kedudukan pemenang kerana dia sudah cukup gembira apabila melihat catatan masa yang tertera menunjukkan dirinya berjaya melakukan PB.

“Saya jadi emosi sebab bila tengok masa, saya tahu saya sudah buat PB. Ketika itu kami pun tidak pasti siapa menang, tetapi sama ada menang atau kalah, kami tetap gembira kerana berjaya mengatasi catatan terbaik masing-masing.

“Sangat susah untuk dapatkan PB ini. Saya rasa sudah lima hingga enam bulan berusaha untuk mencapainya,” katanya.

Menurut atlet berusia 27 tahun itu, dia sebenarnya tidak meletakkan sasaran untuk muncul juara, sebaliknya hanya mahu melakukan yang terbaik dan memperbaiki catatan masanya.

“Saya tidak menjangkakan kemenangan ini. Saya cuma mahu melakukan yang terbaik untuk mencatat PB dan Alhamdulillah dapat menang emas hari ini. Sebelum ini catatan terbaik saya ialah 11.76 saat yang dibuat di sini juga pada Kejohanan Innotex tahun lalu,” ujarnya.

Aisyah berkata, kemenangan tersebut hadir hasil persaingan sengit bersama Izzatul yang memaksanya mengerah seluruh tenaga terutama pada 10 hingga 15 meter terakhir perlumbaan.

“Izzatul memang sangat kuat dan tenaganya tidak dapat dinafikan. Saya perlu lawan habis-habisan untuk memintasnya. Kalau saya berlari secara biasa-biasa memang tidak akan dapat masuk. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN