PENGARAH Teknikal skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjadi calon terbaik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Peter Cklamovski yang meletakkan jawatan secara mengejut pada Selasa lepas.
Jurulatih berpengalaman negara, Sulaiman Hussin berpendapat, tiada individu yang lebih layak untuk diberikan peranan tersebut buat sementara waktu selain Cheng Hoe memandangkan saingan Piala AFF akan bermula tidak lama lagi.
Menurut Sulaiman, kepakaran serta pengalaman Cheng Hoe yang pernah membimbing Harimau Malaya selama empat tahun dilihat mampu untuk memberi kestabilan buat pasukan yang agak goyah ketika ini.
“Secara peribadi, jika kita mahukan jurulatih skuad kebangsaan yang bagus secepat mungkin, hanya Cheng Hoe yang layak.
“Bagi saya, dia ada pengalaman dan calon terbaik, terutama beliau memang ada dalam struktur FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) itu sendiri selaku Pengarah Teknikal Harimau Malaya.
“Cuma, kita tidak pasti status kontraknya bersama FAM macam mana tetapi inilah pilihan terbaik,” katanya kepada Kosmo!.
Sebagai rekod, Cheng Hoe telah membimbing skuad kebangsaan pada 2018 sebelum dipecat selepas berakhirnya kempen Piala AFF 2021 untuk digantikan dengan jurulatih import dari Korea Selatan, Kim Pan-gon.
Namun, Cheng Hoe kembali semula ke pangkuan FAM tahun lalu untuk sertai revolusi Harimau Malaya di belakang tabir dengan memberi bantuan khusus buat skuad senior dan bawah 23 tahun (B-23).
Kosmo! semalam melaporkan badan induk bola sepak negara itu membuat rombakan di posisi kejurulatihan apabila Cklamovski dan jurulatih skuad B-23, Nafuzi Zain ditamatkan kontrak atas persetujuan bersama.
Cklamovski tidak menunggu lama untuk mengesahkan destinasi baharu apabila rasmi diperkenalkan sebagai pengurus kelab divisyen empat England, Salford City manakala Nafuzi pula dijangka kembali menyertai Terengganu FC.














