PETALING JAYA – Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin pesat membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab menghasilkan gambar palsu melibatkan pemegang gelaran Datuk bagi mengelirukan orang ramai dan meraih kepentingan tertentu.
Pengarah Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan AI untuk menghasilkan gambar palsu berkaitan pemegang gelaran Datuk sehingga sukar dibezakan dengan imej sebenar.
Beliau berkata, pada peringkat awal, imej yang dijana AI mudah dikenal pasti kerana mempunyai kelemahan ketara seperti latar belakang yang tidak sempurna, anggota badan yang kelihatan pelik serta raut wajah yang tidak semula jadi.
“Bagaimanapun, teknologi AI berkembang dengan sangat pantas dan imej yang dihasilkan kini semakin realistik sehingga sukar dibezakan daripada gambar sebenar,” katanya di sini hari ini.
Beliau yang juga merangkap Ahli Majlis Eksekutif Majlis Datuk-Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) berkata, gambar atau sijil pelantikan yang dipalsukan tidak memadai untuk melepasi proses pengesahan rasmi sesuatu gelaran.
“Walaupun ada individu yang mampu memalsukan sijil atau gambar berkaitan, MDPM dan pertubuhan Datuk yang lain tetap akan meminta dokumen sokongan serta bukti sah bagi mengesahkan ketulenan gelaran tersebut.
“Kebiasaannya pada peringkat ini, individu yang cuba menyamar akan berundur. Jika terbukti berlaku pemalsuan, ia bukan sahaja menjejaskan reputasi mereka, malah kami berhak membuat laporan polis serta mengambil tindakan undang-undang,” katanya.
Michael Chong turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai dakwaan seseorang memiliki gelaran Datuk hanya berdasarkan gambar yang dikongsi di media sosial, kad perniagaan atau sijil pelantikan yang dipaparkan.
“Sekiranya timbul keraguan, orang ramai disaran membuat semakan dengan pertubuhan berkaitan atau pihak berkuasa yang sah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan atau maklumat yang mengelirukan,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Majlis Datuk-Datuk Malaysia (MDDM), Datuk Samson David Maman berkata, pihaknya kini lebih berhati-hati dalam menilai permohonan keahlian baharu susulan peningkatan kemampuan AI menghasilkan gambar dan dokumen palsu.
Menurutnya, setiap permohonan akan melalui proses semakan identiti serta pengesahan dokumen yang lebih teliti bagi memastikan kesahihan maklumat yang dikemukakan.
“Teknologi AI semakin canggih dan mampu menghasilkan bahan yang sukar dibezakan dengan dokumen atau imej asli. Justeru, kami perlu memperketatkan prosedur semakan bagi memastikan integriti serta kredibiliti keahlian terus terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














