fbpx
Ibu anak tiga dari Johor, Dr. Reshma Prakash yang sebelum ini berjaya menduduki top 5 Mrs. Universe 2025 tampil memukau baru-baru ini di atas karpet merah Cannes Film Festival dengan gaun 'ombak malam' yang merupakan simbolik keteguhan dirinya berdepan pelbagai ujian hidup sejak kecil.

Jiwa cekal ibu jelita Segamat ‘diterjemah’ di karpet merah Cannes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN mudah bagi seorang wanita yang sudah bergelar isteri dan ibu untuk membahagikan masa antara komitmen keluarga, kerjaya profesional dan dalam masa sama mengejar impian peribadi yang murni.

Status sebagai isteri dan ibu sebenarnya bukanlah satu titik noktah, melainkan satu fasa evolusi baharu yang membekalkan kekuatan untuk melangkah lebih jauh daripada apa yang pernah dibayangkan.

Itu yang berlaku kepada ahli psikologi dan usahawan perubatan Malaysia, Dr. Reshma Prakash yang beranggapan tiada apa yang mustahil dalam kamus hidupnya jika setiap urusan disertakan dengan tahap disiplin yang tinggi, perancangan yang teliti serta dedikasi tanpa henti.

Keberanian wanita berusia 35 tahun ini untuk melangkah keluar dari zon selesa dunia akademik dan perubatan ternyata membuahkan hasil yang sangat memberangsangkan apabila beliau berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Meskipun tidak mempunyai latar belakang yang luas atau pengalaman bertahun-tahun dalam bidang glamor, rezeki ternyata menyebelahinya apabila beliau berada dalam top 5 Mrs. Universe 2025 tahun lalu.

Dr. Reshma dinobatkan sebagai 3rd runner-up sekali gus menduduki tempat keempat pertandingan Mrs. Universe 2025 yang berlangsung di Manila, Filipina melibatkan persaingan 120 buah negara itu.

Pencapaian yang penuh gilang-gemilang tersebut telah melakar sejarah tersendiri apabila dirinya turut membawa gelaran rasmi Mrs. Asia Universe pada edisi kali ini.

DR. RESHMA dinobatkan sebagai 3rd runner up atau tempat keempat Mrs. Universe di Manila, Filipina tahun lalu.

Dalam pada itu, Dr. Reshma mengakui bahawa keputusan untuk bertanding di pentas dunia tersebut diambil bukanlah bertujuan untuk mengejar glamor semata-mata.

Sebaliknya, beliau melihat industri tersebut sebagai satu platform besar yang sangat berkuasa untuk menyuarakan isu-isu masyarakat terutamanya melibatkan pemerkasaan golongan wanita serta kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan mental.

“Bagi saya, penglibatan dalam pentas ini adalah satu peluang keemasan untuk membuktikan kepada dunia bahawa wanita mampu terus mengejar impian mereka tanpa perlu mengira faktor usia, status perkahwinan, mahupun bidang kerjaya yang mereka ceburi.

“Saya mahu menggunakan suara dan platform yang ada ini untuk memecahkan stigma masyarakat yang sering memandang rendah kemampuan wanita selepas berkeluarga,” katanya ketika ditemu bual bersama K-Wanita! baru-baru ini.

Rentetan daripada kejayaan bersejarah di pentas Mrs. Universe tersebut, lembaran rezeki turut terbuka luas buat dirinya apabila dia menerima undangan rasmi untuk berjalan di atas karpet merah Cannes Film Festival yang cukup berprestij di Perancis hujung bulan lalu.

Penampilannya di hadapan ratusan lensa media antarabangsa berjaya menarik perhatian ramai apabila beliau tampil anggun menggayakan gaun mewah yang dinamakan sebagai ‘Dark Waves’.

Gaun baldu hitam eksklusif dengan perincian sulaman tiga dimensi (3D) yang diilhamkan daripada kekuatan ombak laut di waktu malam itu sebenarnya membawa simbolik yang sangat dekat dengan prinsip hidupnya.

Menurut Dr. Reshma, rekaan busana tersebut mencerminkan kebebasan, keanggunan serta daya tahan seorang wanita yang mampu berdiri teguh dan bangkit semula dengan penuh bergaya meskipun melalui ujian bertubi-tubi datang melanda dalam kehidupan mereka.

Itulah yang dilalui oleh Dr. Reshma. Sebelum bersinar dan bergelar inspirasi kepada ribuan wanita, anak kelahiran Segamat, Johor ini terlebih dahulu pernah berhadapan dengan realiti kehidupan yang sangat mencabar.

Pengalaman membesar dalam serba kekurangan telah membentuk jiwanya menjadi sekental hari ini.

Katanya, beliau dibesarkan oleh seorang ibu tunggal selepas bapanya, yang berkhidmat sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meninggal dunia ketika Dr. Reshma baru berusia sembilan bulan.

Membesar tanpa kasih sayang seorang bapa di samping status keluarga yang kurang berkemampuan ternyata memberi tamparan hebat buat dirinya.

Disebabkan kekurangan itu, Dr. Reshma mengakui beliau sering menjadi mangsa buli rakan-rakan sebaya ketika di bangku sekolah.

Bagaimanapun, segala cabaran, ejekan, dan kepayahan hidup tersebut langsung tidak pernah mematahkan semangatnya, malah situasi sukar itu telah membentuk karakternya menjadi seorang individu yang jauh lebih cekal, matang dan berdikari pada usia yang sangat muda.

Pengalaman perit serta kepedihan masa lalu itu jugalah yang akhirnya mendorong beliau untuk mendalami bidang psikologi secara serius di peringkat menara gading.

Dia mempunyai misi peribadi yang sangat mendalam untuk memahami tingkah laku manusia dan mahu menawarkan sokongan emosi serta bantuan kepada orang lain, khususnya golongan wanita yang sering memendam bebanan hidup serta penderitaan mereka secara sendirian tanpa arah tuju.

Mengimbas detik awal penglibatannya dalam dunia ratu cantik peringkat antarabangsa, keputusannya itu pernah dipertikaikan oleh orang sekeliling, termasuk rakan-rakan dalam industri perubatan yang menganggap dunia akademik dan klinikal tidak sepadan dengan industri glamor.

Ramai yang hairan mengapa seorang pemegang gelaran doktor mahu meletakkan dirinya di atas pentas peragaan yang sering dinilai dari sudut luaran sahaja.
“Memang saya tidak menafikan ada detik di mana saya sendiri meragui keupayaan diri dan timbul rasa tidak percaya pada kemampuan diri.

“Ramai juga pihak yang secara terbuka mempersoalkan tindakan saya dan berpendapat dunia ratu cantik serta akademik adalah dua dunia yang berbeza sama sekali.

“Namun, saya memilih untuk tidak mempedulikan pendapat negatif orang lain dan sebaliknya fokus kepada tujuan asal saya. Jika platform ratu cantik ini boleh saya gunakan untuk memberi inspirasi kepada orang lain untuk sembuh dan percaya kepada diri mereka semula, maka ia adalah satu perjalanan yang sangat berbaloi untuk saya tempuhi,” jelas Dr. Reshma yang juga aktif berkhidmat sebagai seorang pendidik dan usahawan.

Berkongsi mengenai rutin harian yang dilaluinya, Dr. Reshma yang merupakan ibu kepada tiga orang anak menjelaskan bahawa masanya bermula seawal pukul 5 pagi setiap hari.

Sebagai seorang ibu kepada anak-anak yang sedang membesar, tugasan pertamanya adalah memastikan segala keperluan harian dan urusan persekolahan anak-anaknya disiapkan terlebih dahulu sebelum dia mengalih fokus kepada jadual kerjaya profesionalnya yang sangat padat.

Walaupun masanya setiap hari dipenuhi janji temu bersama pelanggan di klinik psikologi, menguruskan operasi perniagaan serta menghadiri penampilan awam, urusan domestik dan tanggungjawab di rumah tetap menjadi keutamaan nombor satu yang tidak boleh diganggu.

“Apabila kita benar-benar mencintai dan mempunyai minat yang mendalam terhadap apa yang kita lakukan, kita tidak akan mudah berasa penat atau mengeluh. Sebaliknya, kita akan menjadi lebih ghairah dan bersemangat untuk memberikan yang terbaik.

“Bagi saya, kunci utama kejayaan seseorang wanita bukanlah terletak pada keupayaan untuk mengimbangi semua perkara dengan sempurna, tetapi pada kejelasan hati dalam menentukan perkara yang paling penting dalam hidup kita.

“Keluarga adalah asas dan paksi kekuatan saya, dan mereka yang memberikan saya motivasi untuk terus berkembang menjadi versi diri yang terbaik pada setiap hari,” katanya lagi.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan rasa syukur dan penghargaan yang tidak terhingga kepada Pengarah Nasional UMB Pageant, Urmimala Boruah yang sentiasa mempercayai bakat serta potensi dirinya sejak hari pertama penglibatannya.

Malah, Dr. Reshma juga mendedahkan bahawa suami tercinta merupakan tulang belakang paling kuat yang sentiasa meniupkan kata-kata semangat tatkala dia berada dalam fasa keletihan yang melampau, selain dibantu oleh sentuhan jurusolek setianya, Shanu Ladiva, yang sentiasa memastikan dia tampil penuh berkeyakinan di atas pentas dunia.

Kini, selepas namanya melonjak di peringkat global, Dr. Reshma aktif menerima pelbagai jemputan kolaborasi antarabangsa, ciri media, dan program advokasi masyarakat.

Meskipun begitu, semua publisiti itu tidak sedikit pun mengubah dirinya, sebaliknya dia memilih untuk kekal merendah diri dan mahu terus fokus memberikan sumbangan semula kepada masyarakat melalui kepakaran psikologi yang dimilikinya.

Bagi dirinya, kehidupan seorang wanita tidak seharusnya terhenti atau menjadi terhad selepas berkahwin, sebaliknya fasa tersebut merupakan satu permulaan baharu yang membekalkan kekuatan luar biasa untuk melangkah lebih jauh.

“Jangan sesekali membiarkan latar belakang masa lalu yang susah, faktor usia yang semakin meningkat atau perasaan takut dalam diri mengehadkan masa depan anda untuk berjaya.

“Fasa hidup kita tidak berakhir selepas berkeluarga, ia cuma berevolusi menjadi sesuatu yang lebih kuat dan bermakna.

“Kenali nilai diri anda, kekal komited dengan matlamat, pilih persekitaran serta pasangan hidup yang sentiasa menyokong perkembangan diri dan ambillah langkah pertama dengan penuh keberanian demi merealisasikan impian,” akhirinya penuh inspirasi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN