PETALING JAYA – Bekas pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menzahirkan penghargaan khusus kepada para pemain dan barisan kejurulatihan selepas rasmi meletakkan jawatannya pada awal minggu ini.
Cklamovski yang dilantik pada Januari tahun lalu mengucapkan terima kasih atas kenangan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya sambil mendoakan kejayaan berterusan buat Harimau Malaya.
“Setiap sesi latihan, setiap perlawanan dan setiap detik yang dilalui bersama didorong oleh matlamat yang sama iaitu untuk membanggakan Malaysia.
“Terima kasih atas segala kenangan, sokongan dan penghormatan yang diberikan kepada saya. Saya meninggalkan pasukan ini dengan doa agar bola sepak Malaysia terus mencapai kejayaan,” katanya.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan kontrak Cklamovski bersama dua staf teknikal skuad senior, Matthew Smith dan Seiya Imazaki ditamatkan menerusi persetujuan bersama berkuat kuasa 16 Jun.
Sebagai rekod, spekulasi bertiup kencang menyatakan Cklamovski dirisik kelab di England, Salford City musim depan selepas diletakkan dalam senarai pendek pihak pengurusan.
Selain Cklamovski, Nafuzi Zain juga meletakkan jawatan selaku pengendali skuad bawah 23 (B-23) sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai status Harimau Malaya pada Piala AFF bulan depan. – KOSMO! ONLINE














