fbpx
Md Amin (dua dari kanan) ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2025 di Majlis Peperiksaan Malaysia, Selayang hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

Bahasa Arab, Bahasa Tamil catat lonjakan prestasi STPM 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAYANG – Kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 mencatatkan kadar lulus penuh melebihi 70 peratus, dengan Bahasa Arab dan Bahasa Tamil merekodkan peningkatan prestasi paling ketara berbanding tahun lalu.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, dua mata pelajaran itu mencatatkan peningkatan prestasi lulus penuh melebihi tiga peratus berbanding STPM 2024.

Menurutnya, bagaimanapun, prestasi mata pelajaran Literature in English dan Bahasa Cina menunjukkan penurunan melebihi tiga peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Sebanyak 19 mata pelajaran lain pula mengekalkan prestasi apabila perbezaan peratusan calon yang memperoleh lulus penuh antara tahun 2025 dan 2024 adalah kurang daripada tiga peratus,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2025, di sini, hari ini.

Beliau berkata, daripada 40,199 calon yang mendaftar menduduki STPM 2025, seramai 38,144 calon atau 94.89 peratus hadir menduduki peperiksaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 35,774 calon atau 93.79 peratus merupakan calon aliran Sains Sosial, manakala 2,370 calon atau 6.21 peratus adalah daripada aliran Sains. Mata pelajaran Pengajian Am pula kekal sebagai mata pelajaran wajib dengan bilangan calon menduduki paling tinggi iaitu 38,083 orang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, daripada 38,144 calon yang hadir menduduki peperiksaan, seramai 38,128 calon atau 99.96 peratus layak dianugerahkan Sijil STPM 2025.

Jelasnya, syarat untuk melayakkan seseorang calon menerima Sijil STPM ialah memperoleh sekurang-kurangnya lulus sebahagian dalam satu mata pelajaran.

Md. Amin berkata, keputusan peperiksaan STPM 2025 boleh disemak bermula pukul 11.30 pagi hari ini menerusi portal MPM atau perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS).

Sementara itu, beliau berkata, MPM akan terus memastikan standard STPM kekal setara dengan GCE A-Level kelolaan Cambridge University Press & Assessment, United Kingdom menerusi kerjasama strategik yang telah terjalin sejak 1980.

“MPM juga akan terus memperkasakan jalinan dengan International Association for Educational Assessment (IAEA) bagi memastikan pentaksiran yang dilaksanakan sentiasa seiring dengan perkembangan pendidikan di peringkat antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN