SELAYANG – Seramai 1,336 calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, meningkat 70 orang berbanding 1,266 calon pada tahun sebelumnya.
Peningkatan itu turut menyumbang kepada kenaikan PNGK Nasional daripada 2.85 pada STPM 2024 kepada 2.88 tahun ini, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi sejak sistem penggal STPM diperkenalkan pada 2013.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr. Md Amin Md. Taff berkata, PNGK nasional tahun ini turut menunjukkan peningkatan sebanyak 12.06 peratus berbanding 2.57 yang dicatatkan pada STPM 2013.
Menurutnya, peratusan calon yang memperoleh PNGK 4.00 juga meningkat daripada 3.06 peratus pada tahun lalu kepada 3.50 peratus tahun ini.
“Peratusan longgokan calon yang memperoleh PNGK 3.75, 3.00, 2.75 dan 2.00 ke atas turut meningkat berbanding STPM 2024,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2025, di sini, hari ini.
Beliau berkata, bilangan calon yang memperoleh 5A dalam semua lima mata pelajaran yang diambil turut meningkat daripada 53 orang pada 2024 kepada 60 orang pada tahun ini.
Selain itu, katanya, calon yang memperoleh 4A juga meningkat daripada 1,228 orang kepada 1,285 orang.
Jelasnya, sebanyak 77.64 peratus atau 29,616 calon memperoleh lulus penuh bagi empat dan lima mata pelajaran, meningkat daripada 76.55 peratus pada STPM 2024.
Daripada keseluruhan 40,199 calon yang mendaftar, seramai 38,144 calon hadir menduduki peperiksaan, manakala 38,128 calon atau 99.96 peratus layak dianugerahkan Sijil STPM 2025. – KOSMO! ONLINE














